Penulis lirik lagu Dolla dari Sweden!
Kumpulan Dolla terus terbang tinggi apabila mereka mengumumkan bakal mengeluarkan single terbaru ‘LOOK AT THIS’ dari penulis lirik yang berasal Sweden.
Fakta yang menarik untuk lagu baru mereka, penulisan asal lagu ini merupakan dalam Bahasa Inggeris dan mengambil masa berbulan untuk diterjemahkan dalam Bahasa Melayu.
Antara yang terlibat dalam pembikinan lagu ini Cikgu Shafi, Sya, Yonnyboii dan Asyaf Nasir dalam menyempurnakan lirik lagu tersebut.
Menurut Tabby, salah seorang ahli kumpulan Dolla, lirik lagu ini tentang keyakinan diri malah ia unik dan rancak.
“Ia berkisar keyakinan diri dan tidak mempedulikan kata orang lain. Lagunya yang rancak juga memberi gambaran tentang keperibadian seseorang yang yakin dengan penampilan dirinya yang menarik. Malah ada bait lirik yang berbunyi “kau pandang di sini mata memerhati, but ain’t even worried bout that,” kata Tabby.
Menurut Syasya pula lagu ini menampilkan sisi DOLLA yang berbeza kerana rtak tarian yang berat lebih kepada unsur hiphop.
“Untuk tarian kami masih menggunakan khidmat Ezra Tham dan pasukan tari daripada UNC Dance Studio untuk membimbing kami dalam mereka tari. Untuk video muziknya pula kami bekerjasama dengan Ghazi yang sudi mendengar pendapat kami demi secebis kelainan. Kami bersyukur kerana sangat mudah bekerja dengan semua
orang,” kata Syasya.
Namun bagi Sabronzo pula ada beberapa cabaran dalam menghasilkan video muzik lagu ini berikutan kerana cuaca yang buruk.
“Cabaran pertama adalah kami terpaksa siapkan video muzik dalam satu hari lebih gara-gara cuaca yang buruk. Yang kedua adalah kami terpaksa mengumpul tenaga dan bersengkang mata selama 28 jam untuk menyiapkannya. Pada asalnya kami ada dua hari tapi gara-gara cuaca kami terpaksa meneruskan,” ujar Sabronzo.
DOLLA berharap lagu ini dapat diterima oleh semua termasuk pasaran antarabangsa. Ia
sesuatu yang berbeza dari apa yang kerap mereka tampilkan sebelum ini.
Single LOOK AT THIS boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube muzik mulai 17 Februari jam 12 tengah malam, manakala muzik videonya pula boleh ditonton di laman YouTube DOLLA pada tarikh 17 Februari jam 9 malam-SM