Politik

Pensyarah mahu saman Hannah Yeoh

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff yang telah mengambil tindakan memulakan prosiding saman fitnah terhadap lima pemimpin DAP sebelum ini akan menambahkan seorang lagi pemimpih DAP dalam senarai tersebut.

Kamarul Zaman dalam satu kenyataan berkata, dia akan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang didakwa yang mengecam dan memfitnahnya di dalam posting Facebook hari ini

“Saya telah dinasihatkan oleh peguam saya supaya menyaman Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, yang mengecam dan memfitnah saya di dalam posting Facebook beliau hari ini semata-mata kerana saya memuatnaik satu posting yang sekadar bertanya “Tunggang Agama Untuk Menang PRN?” bersama-sama satu poster majlis beliau di Sabah.

“Ekoran kecaman dan fitnah ini, para pengikut beliau telah secara bergerombolan membuat pelbagai komen yang mengecam dan memfitnah saya dengan seteruk-teruknya di laman Facebook beliau.

“Saya akur dengan nasihat peguam saya dan akan memulakan tindakan perundangan ke atas Hannah Yeoh pada hari ini juga,” kata Kamarul Zaman.

Hannah dalam hantarannya di Facebook hari ini menulis,“Sekali lagi pensyarah UUM ini mahu mainkan sentimen politik perkauman dan agama. Ianya jelas dalam pelbagai kenyataan dan tulisannya yang beliau begitu bencikan DAP. Jangan lupa, pensyarah yang sama jugalah yang mengkritik buku saya ‘Becoming Hannah’ dan takut berdepan Tun Mahathir dalam forum anjuran Sinar Harian suatu waktu dulu.”

“Bagi saya inilah satu-satunya ‘modal’ yang masih berbaki untuk dirinya – perkauman dan isu agama – yang telah biasa beliau gunakan di Semenanjung. Malang buat diri beliau, ini adalah Sabah, Negeri Di Bawah Bayu yang begitu meraikan dan menghormati kepelbagaian. Sentimen yang beliau mainkan bukan sahaja tidak diterima di Semenanjung dan kini di Sabah juga.”

Kamarul Zaman sebelum ini  memulakan prosiding fitnah terhadap anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, anggota Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan Senator DAP Pulau Pinang, Ariffin Omar.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button