Nasional

‘Pening kepala’ Tommy Thomas dibuatnya…

ADA yang melayangkan komen kepada Suara Merdeka, era kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah setahun sembilan bulan ini benar-benar tempoh sukar buat Peguam Negara, Tommy Thomas.

`Pening kepala’ Peguam Negara itu dibuatnya.Terpaksa melayan persepsi macam-macam terhadap dirinya khususnya dari pembangkang.
Kewibawaan Tommy dikatakan menimbulkan persoalan. Apakah rakyat Malaysia masih boleh mengharapkan wujud keadilan dan keluhuran undang-undang di negara ini?
Terbaharu kelmarin satu lagi kes membabitkan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil dari Parti Bersatu, Adhif Syan Abdullah yang dikatakan ditangkap dan disahkan positif dadah dalam serbuan di Damansara.

Adhif Syan Abdullah bagaimanapun mendakwa beliau berada di tempat dan masa yang salah, biarpun sebuah portal lebih awal melaporkan dia menafikan dan menyatakan berada di rumahnya di Pulau Meranti, Puchong, sejak malam sebelum kejadian.

Lima hari lepas, Tommy turut memutuskan tidak akan mendakwa mana-mana pihak berhubung kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Ini setelah menyemak keterangan yang dikumpulkan dan dikemukakan oleh polis kepada jabatannya, biarpun banyak pihak mempersoalkan keupayaan PDRM mengecam suspek-suspek dalam kes berprofil tinggi lain menerusi CCTV termasuk melibatkan `suspek kes Korea Utara’.

Suara Merdeka masih percaya sesiapa pun yang memegang jawatan penting seperti Peguam Negara harus berpegang kepada prinsip rule of law dan memelihara kedaulatan undang-undang.

Cuma kasihannya Tommy Thomas dilanda gelombang persepsi yang ibarat `tsunami’ dalam kes-kes yang dikendalikannya. Antara kes berikut adalah:

(1) Pendedahan Puan Syazlin Mansur bekas peguam kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai campur tangan Peguam Negara di dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Adib selain wujudnya Afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara mendeposkan Allahyarham Adib tidak dipukul.

Sedangkan prosiding inkues belum pun selesai, yang didakwa menunjukkan betapa kurang arifnya Tommy mengenai perjalanan inkues dan diragui kredibiliti beliau untuk menjalankan tanggungjawab secara bebas.

(2) Wujudnya pendakwaan terpilih dan pengguguran pendakwaan misalnya pengguguran sepenuhnya kes rasuah melibatkan seorang pemimpin parti sekutu PH walaupun prosiding mahkamah telahpun berjalan dan saksi-saksi telah mula memberi keterangan di mahkamah.

(3) Kegagalan Tommy untuk menasihati Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong berhubung keperluan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga amat memalukan kerana akhirnya terbukti bersifat sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan yang produktif malah berlakunya pembaziran masa serta sumber negara.

(4) Selaku Peguam Negara, Tommy telah melantik peguam luar, Sitpah Selvaratnam bagi mengendalikan kes kapal mewah Equanimity dengan bayaran upah yuran guaman yang amat tinggi iaitu sebanyak RM2 juta sedangkan penghakiman di dalam kes tersebut hanyalah penghakiman ingkar (default judgement) dan tidak melibatkan sebarang proses perbicaraan. Dalam isu ini juga, kenyataan Tommy didapati bertentangan dengan kenyataan awal beliau bahawa peguam luar dilantik tanpa sebarang bayaran atau Pro-bono.

(5) Tindakan Tommy menggugurkan sepenuhnya beberapa kes berprofil tinggi yang melibatkan hubungan diplomatik negara tanpa alasan munasabah seperti kes penderaan yang menyebabkan kematian pembantu rumah Indonesia Adelina Jerima Sau dan juga kes yang melibatkan dua suspek warga Vietnam dan Indonesia dalam kes pembunuhan warga Korea Utara yang dipercayai sebagai Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un. Tindakan ini sekali lagi membelakangi prinsip ‘Rule of Law’ dan kedaulatan undang-undang negara.

(6) Tularnya satu audio rakaman perbualan Peguam Siti Kassim yang mendakwa beliau telah bercakap dengan Tommy berkenaan kes saman Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Kelantan berkaitan isu Orang Asli di Gua Musang yang difailkan setelah pengumuman tarikh Pilihanraya Kecil Cameron Highland menyerlahkan lagi akan wujudnya konspirasi dan hilangnya kredibiliti, integriti dan kebebasan Peguam Negara.

(7) Pengumuman keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia oleh Pengerusinya, Tommy sendiri yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels untuk digunakan dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) disifatkan ramai pihak sebagai mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan itu dibuat ‘secara unilateral’ tanpa menunggu perbincangan kementerian pendidikan dan merujuk kepada kabinet menimbulkan bantahan dan kritikan rakyat terhadap sikap dan pendirian Peguam Negara.- SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button