Tindakan segelintir peniaga membuka meja dan kerusi di kawasan pasir di Pantai Puteri menyebabkan lokasi perkelahan di situ menjadi sempit untuk pengunjung
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pada siang hari beberapa peniaga meletak meja dan kerusi di kawasan tumpuan pengunjung bersantai terutama di bawah pokok Rhu.
Begitu juga pada sebelah malam lebih banyak gerai dibuka dengan kerusi dan meja diletakan sebanyak mungkin turut menyebabkan pengunjung tidak dapat menjalankan aktiviti berkhemah dan bermalam di kawasan pantai.
Selain itu tindakan beberapa peniaga meninggalkan khemah dan kabin gerai jenis zink serta besi di tempat parkir telah mencacatkan pemandangan di kawasan tumpuan pelancong itu.
Tidak kurang pula segelintir peniaga meninggalkan barang berniaga mereka di bahu jalan jelas mencemarkan imej tempat tersebut sebagai lokasi pelancongan terutama pada cuti hujung minggu.
Seorang penduduk tempatan Adnan Ghailan, 71, berkata, imej Pantai Puteri sebagai lokasi pelancongan utama terjejas disebabkan sikap segelintir peniaga yang menutup kawasan pantai dengan meletakan kerusi dan meja.
Katanya, tidak sepatutnya peniaga dibenarkan berniaga di kawasan pantai kerana keadaan menjadi sempit dan menghalang pengunjung untuk menjalankan aktiviti perkhemahan.
“Dulu tak seteruk hari ini apabila tidak ada penguatkuasaan undang-undang menyebabkan peniaga sesuka hati meletakan meja dan kerusi di kawasan pasir.
“Ada saya dengar pengunjung dari luar mengeluh kawasan untuk mereka berkhelah semakin sempit disebabkan ada gerai dibuka di situ,” ujarnya di sini hari ini.
Bagi seorang pengunjung dari Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Sharif Omar, 42, pula berkata, dia menghadapi masalah parkir kerana terlalu ramai peniaga membuka khemah di tempat yang dikhaskan untuk meletak kenderaan.
“Setiap kali saya datang ke Pantai Puteri masalah mencari tempat meletak kenderaan khususnya pada cuti hujung minggu.
“Mesti ada penyelesaian untuk tidak membenarkan peniaga membuka gerai di tempat parkir,” ujarnya. – SM