Nasional

Peniaga rugi RM306,768, dua kali kena ‘scam’

SEORANG peniaga wanita kerugian RM306,768 apabila dua kali ditipu sindiket pinjaman tidak wujud pada tahun lalu dan tahun ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 52 tahun berasal dari Bahau itu seperti tidak serik apabila pernah mengalami kerugian RM80,454 selepas ditipu sindiket yang sama pada Jun tahun lalu.

Katanya, mangsa mengalami masalah kewangan lalu mencari maklumat berkaitan syarikat pinjaman wang di Facebook.

Tambahnya, mangsa menjumpai satu iklan sebelum mengisi butiran peribadi dan jumlah yang mahu dipinjamnya iaitu RM250,000, sebelum dihubungi suspek yang menawarkan pinjaman tersebut.

“Mangsa membuat pembayaran sebanyak RM80,454 sebagai bayaran untuk meluluskan pinjaman, namun ditipu selepas tidak mendapat pinjaman yang dipohonnya.

“Pada Julai tahun lalu, mangsa sekali lagi dihubungi suspek yang sama dan memaklumkan mangsa perlu membatalkan pinjaman jika tidak mahu meneruskan pinjaman yang dibuat sebelum ini.

“Mangsa diminta membuat bayaran bagi proses pembatalan dan dimaklumkan akan mendapat semula wangnya,” katanya.

Chang Hook berkata, mangsa telah melakukan lebih 50 transaksi dari Ogos 2020 hingga bulan ini dengan jumlah RM226,314.

Tambahnya, suspek sekali lagi menghubungi mangsa untuk meminta bayaran terakhir berjumlah RM4,500, sebelum mangsa berasa dirinya ditipu.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bahau, minggu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak percaya dengan tipu helah sindiket pinjaman wang kerana sudah banyak kes seperti itu berlaku dan dilaporkan oleh pihak polis.

Tambahnya, jika ingin meminjam wang perlu melalui saluran yang betul iaitu di institusi kewangan seperti bank.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button