Peniaga perlu ikhlas dalam urusan, Pemangku Raja Perlis
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar setiap usahawan harus menerapkan nilai ikhlas dalam menjalankan urusan perniagaan dan sebarang kegiatan jual beli.
Perniagaan akan menjadi satu ibadah jika ianya dilaksanakan berlandaskan syariat dan ajaran Islam. Para peniaga perlu menguruskan perniagaanya dengan penuh kredibiliti, secara tidak langsung dapat memikat hati pelanggan untuk memilih produk atau servis yang disediakan.
Peniaga juga wajar telus dalam menentukan harga produk ataupun servis yang berbaloi dan memuaskan kepada pelanggan. Produk dan servis baik nescaya akan memikat hati pelanggan untuk kembali semula membeli dan menggunakan produk atau servis yang sama berbanding pesaing perniagaan tersebut.
Tahap kebersihan juga mesti sentiasa berada di peringkat yang terbaik pada setiap masa.
Demikian titah Tuanku Pemangku Raja selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kg Behor Lateh, Kangar baru-baru ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut diiringi oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri dan Persekutuan bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk keluar dari masalah kemiskinan.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan harian mereka.
Asnaf yang terpilih pada edisi kali ini adalah Zaiton Othman, 39 tahun dari Kg Behor Lateh, Ismak Ali Omar, 72 tahun dari Kampung Behor Mali dan Roslan Che Rose, 46 tahun dari Kampung Utan Ibus.
Di akhir program Baginda Tuanku berkenan singgah di Restoran Mee Zdin sebagai tanda sokongan kepada produk-produk pelancongan sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.