Peniaga berhati mulia jual roti canai 50 sen
SEPERTI tidak masuk akal, jika ada peniaga roti canai yang berani menjual dengan harga 50 sen sekeping.
Ketika harga barangan mentah naik mendadak hingga menimbulkan runggutan daripada orang ramai, kenaikan itu tidak boleh dielak jika tidak ada peniaga yang mungkin gulung tikar menanggung kerugian.
Bagi peniaga roti canai pula sebahagian besar daripada mereka telah menaikkan harga roti kosong daripada RM1.20 hingga RM1.40 khususnya di negeri ini.
Kenaikan itu berikutan bahan mentah membuat roti canai iaitu tepung, minyak masak, majerin dan sebagainya telah mengalami kenaikan harga mendadak.
Pun begitu masih ada peniaga yang berhati mulia apabila menjual roti canai kosong di restoran Dapur Manja di Jalan Hang Tuah dekat sini dengan harga 50 sen.
Bagi Mohd. Fikhri Saad, 29, dia tidak langsung mementingkan keuntungan besar semata-mata sebaliknya bertekad menjual roti canai kosong dengan harga 50 sen sekeping.
Menurutnya, sejak kembali berniaga dua bulan lalu, dia mengambil keputusan untuk menjual roti canai dengan harga yang tidak masuk akal itu dan tidak mengikut langkah peniaga lain menaikkan harga.
“Saya tahu dengan menjual roti canai dengan harga itu tidak mungkin dapat keuntungan malah rugi disebabkan kenaikan harga tepung, minyak masak, majerin dan sebagainya.
“Tapi saya jual pada harga itu sebagai tarikan orang ramai ke kedai saya, Dapur Manja di Jalan Hang Tuah yang dibuka sejak Februari lalu.
“Ini sebagai menghargai pelanggan yang datang walaupun jual roti canai saya rugi tetapi saya bersedekah kepada pelanggan yang datang ke kedai saya,” ujarnya ketika ditemui semalam.
Dapatkan Roti Canai Asli anda dangan kuah dhal percuma > Klik sini
Berpeluang menjamah roti canai yang dijual Mohd.Fikhri walaunpun berharga 50 sen, tetapi roti tersebut sangat lembut dan enak dimakan dengan kuah asam pedas.
Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia antara satu hingga lima tahun berkata, roti canai yang dijual pada harga 50 sen itu juga sebagai ‘saham’ akhirat nanti.
Menurutnya, dia tidak rasa menyesal menjual harga roti canainya dengan harga serendah itu malah akan terus bertahan walaupun nanti harga barangan mentah dijangka terus mengalami kenaikan.
Dia yang dibantu oleh isterinya, Qurratu Aini Ashaari, 29, turut menjual asam pedas terkedu dan beberapa makanan lain dikedai yang disewanya sejak dua bulan lalu.
Katanya, dia kembali semula berniaga selepas terhimpit sejak dua tahun lalu ekoran penularan pandemik Covid-19 hingga menyebabkan dia mengalami kerugian yang teruk.
“Ketika itu, saya hilang pendapatan apabila kedai tidak dapat dibuka. Hidup saya benar-benar terhimpit dan kini saya sudah dapat modal serta baru bertapak untuk memulakan perniagaan,” ujarnya. – SM Melaka