Peniaga ayam di Perlis patuh jual ayam RM9.40 sekilogram
PENIAGA ayam di Perlis akur dengan arahan kerajaan supaya menjual ayam pada harga RM9.40 sekilogram mulai hari ini.
Ini berikutan baru-baru ini Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam.
Sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia bermula 1 Julai.
Tinjauan SUARA MERDEKA di Pasar Besar Sena, Kangar, pagi tadi juga mendapati hampir kesemua peniaga ayam meletakkan tanda harga yang sama iaitu RM9.40 sekilogram.
Hanya ada satu sahaja lot atau gerai yang menjual ayam pada harga RM9.30 sekilogram.
Ketika ditanya, pembantu penjual ayam ini menjawap, dia menerima arahan untuk menjual ayam dengan harga tersebut daripada peniaga lot ini.
“Tawaran kurang 10 sen ini sedikit sebanyak membantu jualan ayam kami,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peniaga ayam yang ditemui, Marzuki Mat Dinar, 50, berkata, pihaknya tiada masalah untuk mematuhi arahan harga baharu yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Cuma sejak kenaikan harga ayam, pelanggan semakin kurang memandangkan harga meningkat separuh,” katanya.
Beliau mengakui, pihaknya terpaksa bersaing dengan harga promosi pasar raya besar dan peniaga ayam segar kecil-kecilan di segenap kampung.
Seorang lagi peniaga ayam, Amran Shaari, 39, akur dengan apa yang ditetapkan kerajaan sekalipun sedar pelanggan semakin berkurangan.
“Bekalan ayam sekarang tiada masalah tetapi jualannya tidak serancak dahulu,” katanya yang menjadi peniaga ayam selama sembilan tahun.
Bagaimanapun katanya, dengan tempahan daripada kedai makanan, restoran dan sekolah banyak membantu peniaga ayam.
Tinjauan SUARA MERDEKA di kedai menjual ayam segar di lot gerai dan kedai sekitar Kangar juga menawarkan harga mengikut arahan kerajaan.
Bagaimanapun masing-masing mengakui, kenaikan harga ayam sebelum ini telah menyebabkan jualan tidak selaris dahulu. – SM