JenayahNasional

Pengusaha permainan “Sotong Ride” berdepan saman

SUSULAN kejadian tiga termasuk seorang kanak-kanak yang menaiki ‘Sotong Ride’ terjatuh dan tercampak di tapak ‘fun fair’ di Puncak Alam, Selangor, malam kelmarin.

Pengusaha pesta ria di Puncak Alam itu besar kemungkinan boleh dikenakan tindakan saman sivil dan jenayah di mana tiga pengunjung cedera susulan terjatuh ketika menaiki permainan “Sotong Ride” pada Isnin lalu.

FMT memetik kenyataan Peguam Derek Fernandez berkata, jika dibuktikan pengusaha tidak mempunyai permit dan cuai, mereka boleh berdepan dengan mana-mana tindakan jenayah yang mungkin diambil oleh pihak berkuasa selain dipertanggungjawabkan ke atas mangsa-mangsa menerusi ganti rugi punitif dan ganti rugi am.

Ini kerana, jelas Fernandez, kecuaian mungkin berlaku kerana menjalankan aktiviti secara haram.

Memetik laporan Sinar Harian semalam, keluarga dua beradik yang cedera dalam kejadian itu sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha tapak “fun fair” berkenaan.

“Pertama, punca kepada masalah mesti dikenal pasti. Adakah ia masalah mekanikal atau kurangnya pengawasan?

“Apabila terbukti dan memang didapati pengusaha gagal mengambil pendekatan keselamatan munasabah atau menyelenggara permainan, mereka sewajarnya bertanggungjawab dan mesti membayar pampasan kepada keluarga terbabit,” kata Fernandez.

Beliau berkata, sekiranya terbukti mereka menjalankan operasi tanpa lesen, ia adalah satu kesalahan dan mereka juga perlu membayar ganti rugi.

“Berdasarkan laporan berita, mereka (keluarga mangsa) kelihatan mempunyai kes terhadap pengusaha.

“Pengusaha mungkin berdepan tindakan berganda,” katanya sambil berharap pihak berkuasa membantu keluarga mangsa dalam kes itu.

Pada Isnin lalu, dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh ketika menaiki “sotong ride”. Kejadian itu tular di media sosial.

Menurut laporan, Ketua Polis Kuala Selangor, Ramli Kasa berkata, mereka terjatuh dari permainan yang dikenali sebagai “sotong ride” dan mangsa-mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat dilaporkan berkata, operasi “fun fair’ atau pesta ria itu tidak mendapat kebenaran polis serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) selain notis kompaun sudah diserahkan kepada pengusaha. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button