Pengunjung ke Sarawak: Perlu kuarantin jalani ujian Covid-19
PENGUNJUNG yang masuk ke Sarawak akan dikuarantin di pusat yang ditetapkan bagi menjalani ujian saringan Covid-19.
Tidak kira sama ada pengunjung yang masuk ke negeri itu datangnya dari Semenanjung, Sabah ataupun Labun, semua wajib dikuarantin di pusat yang ditetapkan.
Ini dinyatakan sendiri oleh Exco Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, mereka (pengunjung) akan dibenarkan pulang jika keputusan ujian Covid-19 menunjukkan negatif.
Katanya lagi, kerajaan negeri hanya akan menanggung kos kuarantin dan ujian bagi penduduk Sarawak dan pegawai kerajaan persekutuan yang bekerja di negeri ini sahaja.
Ini bermakna, pengunjung yang bukan penduduk negeri dan bukan dalam kalangan pegawai kerajaan persekutuan yang bekerja di Sarawak, terpaksa menanggung sendiri kos ujian Covid-19.
Kenyataan Douglas itu selaras dengan langkah itu yang akan berkuat kuasa dari 1 sehingga 14 Ogos ini.
Bercakap kepada pemberita mengenai kawalan perjalanan antara zon yang akan dilaksanakan pada jangka masa sama, beliau berkata:
“Hanya mereka yang melakukan tugas rasmi atau perlu menjalani pemeriksaan perubatan, terbabit dalam perkhidmatan penting dan mereka yang mengunjungi saudara yang sakit atau menghadiri pengebumian akan dikecualikan daripada mendapatkan kelulusan polis.”
Sementara itu, waktu operasi perniagaan di Kuching juga akan dihadkan antara pukul 6 pagi sehingga pukul 10 malam sahaja dan sehingga kini, 19 orang dijangkiti virus itu di Sarawak. – SM