Politik

Pengundi PRN Johor, ‘rehatkan’ UMNO BN – Abdul Hadi

‘REHATKAN’ UMNO BN untuk elak salah laku, rasuah. Begitu saranan secara cara halus untuk UMO dan Barisan Nasional (BN) yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau menggesa pengundi Johor “merehatkan” UMNO untuk mengelakkan berlaku salah laku, penyelewengan dan rasuah.

“Barisan Nasional-UMNO sudah memerintah selama 60 tahun. Mengikut adatnya, kalau manusia berusia 60 tahun, sudah tua.

“Sudah lemah, mengalami kelemahan maka berlakulah kelemahan-kelemahan, berlaku rasuah, salah laku penyelewengan dan macam-macam,” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian dalam ceramah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, Pontian, Johor, malam tadi.

Abdul Hadi berkata, “Kita harap orang Johor pilih Perikatan Nasional (PN). Pilih wakil PN, parti yang tidak berjanji tetapi buat kerja,” kata Presiden PAS itu yang juga Ahli Parlimen Marang sepertimana dilaporkan Harakahdaily.

Untuk rekod, pengundi Johor akan memilih Kerajaan Negeri yang baharu pada 12 Mac ini dengan pertembungan BN menentang PN dan Pakatan Harapan (PH) menjadi tumpuan.

PAS adalah parti komponen PN dan sekutu utama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui gagasan itu selaku Pengerusi PN.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan UMNO dan PAS masih wujud.

Walau bagaimanapun kata Tuan Ibrahim, kerjasama antara kedua-dua parti itu akan dinilai semula selepas PRN Johor 12 Mac ini.

Beliau mendakwa, sehingga kini tiada mana-mana pemimpin PAS mahupun UMNO mengisytiharkan kerjasama itu sudah tamat.

“Kita tutup fail dulu dengan MN ini sementara hadapi PRN dan selepas ini, akan tengok semula. Kita tengok keadaan cuaca dulu nanti,” katanya dipetik Berita Harian.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, Abdul Hadi dilaporkan memberitahu pengundi Johor untuk merehatkan BN.

“BN sudah lemah. Biar dia ‘rehat’ dulu kerana dia sudah menunjukkan kelemahan. Sudah 60 tahun,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PN.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menempelak, sebarang kerjasama politik UMNO-PAS dan mahukan MN “diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi”.

“Bukan kita tidak mahu malah kita yang memulakan. Kalau hidung tak mancung, kenapa pipi mesti tersorong-sorong,” katanya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button