Politik

Semerah Prihatin cetusan idea Ariss Samsudin untuk penduduk DUN Semerah

Tahu di mana rata, di mana yang berkelok

PUSAT Komuniti dan Komoditi dilengkapi dengan kemudahan pemeriksaan kesihatan, aktiviti belia dan riadah, pendidikan, perniagaan serta premis keusahawanan perlu dibina dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah.

Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di DUN Semerah, Datuk Ariss Samsudin berkata, beliau mempunyai aspirasi iaitu Semerah Prihatin yang menyatukan semua projek untuk kemakmuran masyarakat di satu kawasan.

“Kemudahan ini sangat penting dan praktikal selain ia mampu mencetuskan pelbagai kegiatan sokongan di sekitarnya dan sekaligus merancakkan aktiviti ekonomi di situ sehingga mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat termasuk belia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penduduk DUN Semerah kini memerlukan sebuah Kolej Komuniti, Pusat Kesihatan Kecil, stadium mini, kaunter perkhidmatan kerajaan dan bayaran bil utiliti selain lot-lot perniagaan serta pusat pemasaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi di satu kawasan pertumbuhan baharu.

“Jadi, sudah tiba masanya kerajaan Perikatan Nasional menawarkan semua kemudahan dan perkhidmatan ini kepada rakyat di luar bandar termasuk di DUN Semerah tanpa memerlukan mereka (penduduk) pergi ke bandar untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut,” ujar beliau.


Sebagai calon di DUN Semerah, kata Ariss, beliau akan memanfaatkan pengalaman selama dua penggal sebagai wakil rakyat DUN Semerah bagi tempoh 2004-2013 bagi merealisasikan aspirasi dan Ikrar PN yang menumpukan kepada keprihatinan dan kesejahteraan rakyat Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Tambah beliau, PN juga akan menawarkan tindakan-tindakan segera dan komprehensif untuk menangani isu banjir termenung serta ancaman babi hutan dan monyet yang menyebabkan penduduk kampung kerugian berjuta ringgit setiap tahun.

Mengenai pertandingan lima penjuru di DUN Semerah, kata Ariss, beliau tidak mahu meremehkan calon-calon lain dari Barisan Nasional (BN), PKR, Pejuang dan PUTRA.

“Tetapi sebagai calon PN, misi unggul parti adalah untuk memenangi kerusi DUN Semerah yang sebelum ini diwakili PKR.

“Yang memberi kelebihan kepada saya ialah rekod perkhidmatan sebagai wakil rakyat di sini selama 10 tahun,” katanya.

Beliau yakin pengundi dan penduduk DUN Semerah bukan sahaja masih meyakini perkhidmatan beliau malah menerusi sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan menitikberatkan kemajuan ekonomi, peluang PN menang di DUN Semerah dilihat sangat baik.

“Peluang semua calon adalah seimbang dan sama rata. Cuma rekod perkhidmatan saya sebelum ini menjadi taruhan untuk dinilai oleh pengundi.

“Sekali lagi saya menegaskan di sini untuk meneruskan pelan saya di DUN ini menerusi aspirasi Semerah Prihatin yang akan dilaksanakan menerusi Ikrar PN yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diperincikan mengikut keadaan dan keperluan di DUN Semerah,” jelasnya.

Sebagai anak tempatan, kata Ariss, beliau berani mengatakan  bahawa tidak kekok apatah lagi dalam urusan rakyat dan arif dengan setiap penjuru DUN Semerah.

“Saya tahu di mana yang rata dan di mana yang berkelok,” katanya.

Untuk rekod, DUN Semerah mempunyai 46,640 pengundi. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Semerah dimenangi calon PKR, Khuzzan Abu Bakar hanya dengan majoriti 98 undi. – SM

(Visited 166 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button