Penghantar barang lega dapat carum KWSP
SEORANG lelaki penghantar barang dengan syarikat Go-Get melahirkan rasa lega apabila sebahagian daripada hasil titik peluhnya dipotong sebagai caruman ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sukral Helmi, 44, dari Taman Dato Ahmad Razali, Ampang berkata, dia tidak melepaskan peluang memotong gaji untuk membuat simpanan persaraan dengan KWSP berdasarkan skim kemudahan yang disediakan di bawah Bajet 2022.
Menurutnya, keputusan kerajaan mewujudkan kemudahan potongan gaji sebanyak 10 hingga 11 peratus untuk dicarum ke dalam KWSP dapat membantu untuk simpanan hari tua.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan sebab membantu golongan seperti saya mempermudahkan semua urusan sama seperti pekerja lain yang ingin memiliki aset sendiri.
“Apabila gaji kami sebagai penghantar barang tidak dicarum, ia menyebabkan kami sukar mendapat kelulusan pinjaman bank dan simpanan hari tua tidak ada langsung.
“Alhamdulillah berdasarkan Bajet 2022 saya peroleh semula simpanan KWSP. Ini amat penting apabila saya sudah tua dan tidak boleh bekerja, duit simpanan KWSP boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Sukral berkata, melalui caruman tersebut, wang simpanan akan bertambah semula selepas RM10,000 dikeluarkan daripada pengeluaran khas yang diumumkan KWSP bagi mereka yang berusia bawah 55 tahun yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, dia menjadikan kerjaya sebagai penghantar barang sebagai sumber rezeki selepas diberhentikan kerja setelah majikannya terpaksa menutup operasi akibat kerugian semasa menularnya wabak Covid-19.
“Sebelum ini saya bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Damansara dalam bidang IT. Bila wabak Covid-19 melanda seluruh dunia termasuk Malaysia, banyak syarikat gulung tikar dan pekerja terpaksa diberhentikan,” ujarnya.
Sukral, duda yang mempunyai tiga orang anak berkata, hasil pendapatannya bekerja sebagai penghantar barang dapat menampung membayar sewa rumah, bayaran bulanan kereta dan nafkah untuk tiga anaknya.
Sehubungan itu, dia berharap pada pengumuman Bajet 2023 Oktober ini, kerajaan terus menyediakan lebih banyak bantuan kepada golongan yang bekerja seperti beliau. – SM