Mahkamah

Penganggur didenda RM1,000 palsukan permit pergerakan PKPB

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas seorang penganggur gara-gara cuba memperdayakan pihak polis dengan memalsukan enam keping permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Ihmad Erman, 24, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda itu.

Bapa kepada dua anak itu didakwa telah memalsukan enam keping borang pergerakan PKPB pada pukul 11.30 malam, 26 Oktober lalu di Jalan Conlay, Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Dia didakwa mengikut Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pegawai polis dari Unit Rondaan Bermotor cawangan Dang Wangi telah menahan tertuduh yang cuba memperdayakannya dengan mengemukakan dokumen permit PKPB yang disyaki palsu.

Hasil siasatan polis mendapati terdapat beberapa keping dokumen permit pergerakan PKPB palsu yang dicop dengan cop Ketua Balai polis Gombak didalam beg tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Zuraidi Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, mengambil kira faktor tertuduh tidak seharusnya bersifat mementingkan diri ketika penularan pandemik Covid-19.

Tertuduh yang diwakili peguam Zolazrai Zolkipli memohon hukuman denda ringan atas alasan tempoh reman selama lapan hari telah memberi pengajaran kepadanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button