Luar Negara

Pengadil bola sepak Itali, tunang ditikam hingga mati di kediaman mereka

PENGADIL bola sepak Itali, Daniele De Santis dan tunangnya, Eleonora Manta telah ditikam sehingga mati di kediaman mereka dekat Lecce. Sehubungan itu, polis membuat siasatan terhadap tragedi pembunuhan tersebut yang berlaku Isnin lalu (waktu Itali).

Mememtik laporan La Repubblica, polis terpaksa memecah masuk kediaman pasangan tersebut selepas menerima laporan berlakunya jeritan. Mayat De Santis ditemukan di tangga tingkat kedua pangsapuri kediaman mangsa manakala  mayat Manta pula ditemukan dalam unit kediaman mereka.

Laporan awal mendapati saksi telah melihat seorang lelaki meninggalkan lokasi kejadian dengan sebilah pisau dan beg sandang. Polis bagaimanapun masih belum dapat mengenal pasti identiti suspek.

Kawasan pangsapuri tempat tinggal yang dikongsi bersama De Santis, 33, dan Manta, 30, dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang menyediakan bukti penting untuk polis walaupun kenyataan awal saksi memberitahu, suspek menutup mukanya.

De Santis mula bertugas sebagai pengadil profesional pada 2017 dan melakukan penampilan sulung dalam aksi Serie B sebagai pengadil keempat untuk perlawanan antara Pisa menentang Benevento pada tahun yang sama.

Related Articles

Dalam pada itu, Ketua Persatuan Pengadil Itali, Marcello Nicchi telah mengeluarkan kenyataan awal mengenai tragedi yang menimpa De Santis.

“Saya terkejut dengan tragedi ini. Tidak banyak yang kami ketahui tentang kes ini. Apa yang boleh saya katakan ialah kami berhubung rapat dengan ahli keluarga dan kesemua ahli persatuan,” katanya kepada Gazzetto.

De Santis telah mengadili kira-kira 139 perlawanan dalam Serie C serta Serie D dan bekas presiden, Francesco Ghirelli memberi ucapan penghormatan buat mendiang.

“Tiada kata-kata yang boleh menjelaskan kesedihan Liga Profesional, baik pengadil, kelab dan pemain berhubung kematian pengadil Daniele De Santis dan pasangannya, Eleonora.

“Kami akan terus mengingati senyumannya sewaktu di vpadang dan kesungguhannya terhadap Serie C, yang telah dianggap mendiang seperti keluarga.

“Keganasan adalah pemusnah, dan tragedi itu telah meragut dua nyawa insan yang masih muda yang menyimpan impian dan harapan. Kejadian sebegini perlu dijadikan sebagai musuh nombor satu yang perlu ditentang dalam apa cara sekalipun,” katanya.

De Santis dijangka mengadili perlawanan antara Monopoli menentang Modena dalam Coppa Italia pada Khamis. – The Sun UK – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button