Penerima Anugerah diraja UPSI berjuang raih PhD demi ubah nasib keluarga
Kejayaan meraih empat anugerah termasuk Anugerah Pelajaran Diraja pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun lalu membakar semangat Muhammad Nur Azam Ghazali, 26, untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana seterusnya Ijazah Doktor Falsafah.
Selain Anugerah Pelajaran DiRaja, dia juga menerima Hadiah Buku Fakulti Pembangunan Manusia, Anugerah Buku Adni dan Anugerah Khas Adni.
Muhammad Nur Azam yang menerima Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-kanak daripada Canselor, Tuanku Zara Salim sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) Ke-24 di Dewan Tuanku Canselor UPSI berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam tempoh satu tahun dua bulan sahaja.
Anak kelahiran Kampung Permatang Pasir, Bachok, Kelantan yang menerima Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak itu ternyata sekali lagi membanggakan keluarganya apabila bingkas melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk terus mencipta kejayaan peribadi.
Azam berterima kasih kepada UTM yang memberinya biasiswa penuh untuknya menjalankan kajian bertajuk “Perekaan dan Perkembangan Modul Pendidikan STEM Berdasarkan Objek Maujud (STAND-TICK) untuk Kanak-Kanak di Malaysia yang diadaptasi dari Teori Taxonomi”.
” Menyedari akan kemampuan diri apatah lagi selepas menerima empat anugerah utama terus membakar semangat saya untuk menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana hanya dalam tempoh satu tahun dua bulan sahaja,” katanya.
Anak keempat daripada sembilan beradik yang kehilangan ayah pada 2019 yang lalu kini ingin mengubah nasib keluarga terutama ibunya, Jaina Yusoff, 57, seorang peniaga kecil di Pasar Jelawat, Bachok.
“Semoga kepayahan hidup kami akan berubah pada masa hadapan dan saya yakin dengan pendidikan sahaja dapat mengubah nasib kami sekeluarga,” katanya.
Sebagai anak lelaki , Muhammad Nur Azam insaf akan pendapatan ibu sebagai peniaga kecil di pasar yang tidak sebesar mana lebih-lebih lagi selepas pemergian arwah ayah.
Dia yang sebelum ini pernah menjadi pensyarah di salah sebuah kolej dekat Kota Bahru, Kelantan berkata memang menjadi impiannya untuk suatu hari nanti bergelar pensyarah sepenuh masa selepas menamatkan pengajian di peringkat PhD kelak.
“Saya selalu meminta ibu mendoakan saya agar dapat meneruskan pengajian dengan lancar sehingga dapat menggengam Ijazah Doktor Falsafah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Ghazali Din yang akrab dengan Muhammad Nur Azam berkata lepasan UPSI ini sudah membuktikan kecemerlangannya sewaktu belajar di UPSI bukan sahaja dalam akademik malahan kokurikulum.
“Muhammad Nur Azam yang seringkali berkongsi kisah hidupnya dengan saya adalah graduan UPSI yang hebat dan menyerlah sumbangannya mengharumkan nama UPSI ibarat permata yang harus terus digilap sehingga mencapai kecemerlangan dalam perjalanan hidupnya,” katanya.