
Penegasan Anwar
Usai sesi ‘Investor Breakfast Roundtable’ awal pagi tadi, saya telah menyampaikan ucaptama dalam ruang lingkup acara Persidangan Pelaburan ASEAN 2025.
Penegasan saya:
Kita harus bergerak sebagai ASEAN yang kuat serta menggunakan keupayaan ASEAN secara bijak untuk bangkit secara kolektif di tengah kekacauan ekonomi global susulan kebijakan tarif oleh Amerika Syarikat.
Namun, untuk merealisasikan potensi ini, ASEAN tidak boleh lagi terperangkap dalam retorik semata. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited memperkukuh kerjasama dengan negara-negara jiran demi merealisasikan impian keseragaman ekonomi serantau.
Antara dua fokus utama adalah:
1. Pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN—yakni sebuah inisiatif yang menghubungkan tenaga elektrik rentas sempadan yang memungkinkan perkongsian tenaga boleh baharu antara negara. Usaha ini akan menjadikan ASEAN sebagai hab tenaga hijau yang mampan.
2. Penghubungan sistem pembayaran serantau juga mampu menyemarak perdagangan dan sektor pelancongan di kalangan negara jiran. Hari ini, kita meluncurkan inisiatif penghubungan pembayaran antara Malaysia dan Kemboja—dengan harapan untuk memperluaskannya ke seluruh ASEAN dalam masa terdekat.
Hubungan baik antara para pemimpin negara anggota turut membuka laluan kepada integrasi ekonomi yang lebih utuh sebagai usaha dan upaya menjuarai pelbagai bidang strategik seperti perkhidmatan kewangan, tenaga, pelancongan perubatan dan logistik.
Justeru, kekuatan ASEAN mesti digembleng demi kelestarian setiap negara anggota. Sebagai sebuah rantau yang stabil dan kuat, the sum is greater than the parts.