Penduduk Taman Pelangi Semenyih bantah Bazar Ramadan dikendali persatuan penduduk luar
PENDUDUK Taman Pelangi Semenyih membantah tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memberi hak menguruskan Bazar Ramadan kepada penduduk taman lain.
Menurut mereka hak penganjuran Bazar Ramadan yang sepatutnya diberikan secara bergilir di antara Persatuan Penduduk TPS (Induk) dan Persatuan Penduduk TPS Fasa 6-7 setiap tahun.
Bagaimanapun MPKj telah memberikan kepada Persatuan Penduduk Seksyen 4 Bandar Rinching pada tahun ini.
“Ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan persatuan tersebut bukanlah dari taman ini.
“Sewajarnya hak penganjuran hanya diberikan kepada persatuan dari taman yang terbabit sahaja kerana ia dapat membantu dana persatuan yang akan dikembalikan melalui aktiviti penduduk,” kata mereka dalam kenyataan.
Tambah mereka, Persatuan Penduduk Taman Pelangi Semenyih Induk adalah Johan Kejiranan Terbaik MPKj 2018 oleh itu adalah tidak wajar MPKj memilih Persatuan Penduduk dari taman lain menganjurkan Bazar Ramadan di Taman Pelangi.