Pendirian parti politik Sabah dan Sarawak dinanti
KEPUTUSAN mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan terus menjadi teka-teki meskipun sudah hampir seminggu isu itu berlarutan.
Keputusan siapa bakal Perdana Menteri sememangnya dinanti-nantikan rakyat, apatah lagi setelah Pakatan Harapan (PH), Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS telah menamakan calon masing-masing.
Bagaimanapun, pendirian ahli-ahli parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) masih lagi menjadi tanda tanya dan dinantikan.
Ini kerana parti di negeri berkenaan dilihat sebagai ‘King Maker’ dalam ‘percaturan’ Perdana Menteri baharu.
Semalam, Bersatu, BN dan PAS menamakan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu, sebagai calon Perdana Menteri untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, Majlis Presiden PH dilaporkan percaya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang menghadap Yang di-Pertuan Agong, untuk membuktikan keyakinan majoriti Ahli Parlimen terhadap calon PH itu sebagai perdana menteri baharu.
PH, Bersatu dan Muafakat Nasional dijangka terus mengadakan pertemuan hari ini bagi merangka ‘strategi’ masing-masing dalam usaha menjadi parti pemerintah.
Susulan proses temu bual selama dua hari oleh Al-Sultan Abdullah, baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.
Justeru, Istana Negara akan berhubung dengan ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri pada bila-bila masa.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah dilaporkan turut berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin (2 Mac). – BERNAMA