MahkamahNasional

Pendakwah bebas dipenjara atas hasutan terhadap Sultan Selangor

MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan terakhir seorang pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin atas kesalahan hasutan yang dibuatnya terhadap Sultan Selangor pada 2012.

Wan Ji memulakan hukuman penjara selama sembilan bulan sahaja hari ini terhadap sabitan tersebut tetapi membenarkan hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Sesyen dikenakan semula.

“Kami sekarang mengeluarkan waran komital untuk perayu memulakan hukuman penjara,” kata Pengerusi panel Hakim Hadhariah Syed Ismail.

Wan Ji yang juga merupakan bekas pembantu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang  pada ketika itu, Lim Guan Eng, diikat jamin sementara menunggu keputusan bagi rayuannya.

Hakim Hadhariah yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin berkata, rayuan Wan Ji atas sabitan tersebut tidak mempunyai merit.

“Tiada apa-apa tentang Akta Hasutan yang tidak berperlembagaan,” katanya merujuk kepada cabaran Wan Ji terhadap kesahan undang-undang tersebut.

Hakim Hadhariah juga berkata, walaupun Perlembagaan menjamin kebebasan bersuara, kata-kata yang dikeluarkan oleh Wan Ji adalah tidak wajar.

Hadhariah yang akan bersara tidak lama lagi menasihatkan Wan Ji supaya sentiasa merendah diri dan tidak memburukkan orang lain.

“Walaupun seseorang itu lebih arif dalam hal agama, kritikan mesti tetap sopan,” katanya.

Hadhariah juga berkata, hak kebebasan bersuara bukan mutlak dan mesti dilaksanakan dengan berhati-hati.

“Kita perlu berhati-hati apabila menyentuh tentang kaum, agama dan raja,” tambah beliau.

Hakim Hadhariah turut mengumumkan panel hakim mengetepikan hukuman dipertingkat yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi memandangkan mahkamah sama tidak pun mendapati hukuman asal tidak mencukupi.

Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling dan Aida Khairuleen Azli mengendalikan pendakwaan manakala Peguam Faiz Fadzil mewakili Wan Ji.

Pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara ke atas pendakwah bebas itu selepas dia didapati bersalah melakukan hasutan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tuduhan itu berhubung catatan yang dibuatnya di Facebook pada 2012 mengenai Sultan Selangor.

Wan Ji merayu sabitan itu sementara pihak pendakwaan merayu hukuman dipertingkat.

Pada 9 Julai 2019 lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mempertingkat hukuman penjara Wan Ji kepada satu tahun.

Wan Ji didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun serta denda maksimum RM5,000. – SM

BACA Tuduhan cabul dan persetubuhan luar tabii, pendakwah muda mengaku tak bersalah

BACA Polis sedang siasat dakwaan pendakwah bebas hina agama, kaum dalam ceramah

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button