Pendaki Merdeka 118 Nikolau mohon maaf kepada rakyat Malaysia
PELANCONG dari Rusia, Angela Nikolau yang telah menceroboh naik ke puncak Menara Merdeka 118 baru-baru ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas perbuatannya itu.
Pernyataan maaf diciap menerusi aplikasi Twitter hari ini. Dia berkata, tindakannya memanjat bangunan itu bukan bertujuan untuk menyinggung perasaan rakyat Malaysia tetapi semata-mata untuk “seni”.
“Saya memohon maaf jika saya menyinggung perasaan rakyat Malaysia. Itu bukan niat saya.
“Saya tidak berminat dengan sebarang konflik atau kebencian. Mohon maaf kepada Malaysia dan rakyatnya,” tulisnya.
Semalam, Nikolau dalam satu bebenang di Twitter telah berkongsi tentang pengalamannya mendaki “Incredible Merdeka 118” .
Dia dan Ivan Beerkus telah memanjat bangunan kedua tertinggi di dunia selepas menyelinap masuk ke dalam bangunan itu.
Gambar-gambar itu pada mulanya dimuat naik ke SkyscraperCity.com dan kemudiannya dibawa ke subreddit komuniti Malaysia di reddit.com.
Mereka mengesahkan perbuatan mereka dua hari kemudian dengan menyiarkan gambar dron yang mereka ambil dari atas bangunan.
Catatan itu menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia kerana tidak menghormati peraturan negara lain dengan menceroboh tapak pembinaan yang masih sedang dalam pembinaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, polis telah mendapatkan laporan analisis mengenai akaun media sosial pasangan itu dan turut meminta rekod perjalanan pasangan itu daripada Jabatan Imigresen. – SM