Politik

Pencadang, penyokong menentang usul sendiri, sindir Kit Siang

VETERAN DAP menyindir Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO kerana mengundi ‘menentang’ usul undi percaya yang dibuat mereka sendiri terhadap Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa kejadian berkenaan mungkin adalah yang pertama berlaku di dunia.

Menurutnya, usul undi percaya tersebut dicadangkan oleh ADUN Pengkalan Bharu (BN) Abdul Manaf Hashim dan disokong oleh ADUN Kenering (BN) Mohd Tarmizi Idris.

Bagaimanapun kedua-dua ADUN tersebut mengundi menentang usul tersebut.

“Dewan Undangan Negeri Perak melakarkan sejarah dunia — apabila kedua-dua pencadang dan penyokong usul kepercayaan kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, mengundi menentang usul mereka sendiri.

“Menarik untuk disemak, di mana lagi dalam mana-mana dewan perundangan di dunia, di mana kedua-dua pencadang dan penyokong sesuatu usul itu mengundi melawan usul mereka sendiri,” sindir Kit Siang.

Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya yang berlangsung hari ini.

Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan termasuk oleh Abdul Manaf dan Mod. Tarmizi. Hanya 10 ADUN yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.

Terdahulu, menerusi surat bertarikh 18 November, Abd Manaf berkata Ahmad Faizal yang yang juga ADUN Chenderiang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai keyakinan majoriti Ahli Yang Berhormat DUN.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5, Gerakan 1 dan Bebas 1.

Untuk rekod, bagi sesuatu usul untuk mendapat majoriti mudah, ia memerlukan sekurang-kurangnya sokongan daripada 30 ADUN.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button