SERANGAN penyakit padi tidak pernah berkesudahan. Dapat atasi satu masalah maka akan timbul masalah lain pula. Bagaimanapun apa yang dihadapi oleh penanam padi ini biarpun masalah bolehlah dikatakan berlarutan, tetapi ia masih boleh diselesaikan.
Apapun jangan berpuas hati menyelesaikannya sendiri sekalipun mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun sebagai penanam padi.
Jabatan Pertanian sentiasa bersedia untuk membantu petani menyelesaikan masalah berkaitan tanaman padi dari semasa ke semasa.
Umpamanya pada tahun ini, masih lagi berlaku serangan serangga perosak dan bakteria sekaligus hasil padi juga berkurangan.
Salah seorang penanam padi, Mohd. Zarith Abd Azhar, 31, ketika ditemui berkata, sebenarnya petani tidak boleh ada istilah jemu dalam kamus penanam padi.
Sebaliknya beliau berkata, walaupun penanam padi, ilmu perlu ada demi menghasilkan pengeluaran padi yang disasarkan.
“Kita tidal boleh kata “jemu” untuk mendapatkan ilmu. Kita mesti terus cari ilmu bagaimanakah mengatasi masalah yang berkaitan dengan penanaman padi demi hasil yang bagus,” katanya.
Sebagai anak muda, Mohd Zarith mengakui, sekalipun beliau sentiasa dibimbing oleh ayahnya tetapi itu bukan bermakna panduan itu sudah mencukupi.
“Atas alasan itu, hari ini saya serta program ini kerana ada maklumat baharu khususnya berkaitan serangga perosak yang menyerang tanaman padi yang saya masih tidak faham cara-cara untuk mengatasinya,” ujarnya.
Untuk makluman, Mohd Zarith adalah antara 17 penanam padi yang menyertai program “Hands On Kawalan Perosak dan Penyakit Padi” anjuran Jabatan Pertanian Perlis di Warung Kak Ros D’ Sungai Siran di Abi, dekat Kangar, Perlis.
Para peserta yang menyertai program ini juga berpeluang berdialog dan soal jawab secara santai dengan pegawai Jabatan Pertanian Perlis yang berwibawa dan berpengetahuan dalam mencurahkan ilmu padi.
Sesi tersebut berlangsung selama hampir dua jam dan mereka juga turun ke bendang untuk melihat sendiri contoh padi-padi yang rosak akibat serangan bakteria.
Salah seorang peserta, Norhisham Md Noh, 49, dari Kampung Abi Behor Kebal, Abi Batas Paip menzahirkan rasa puas hati dapat menyertai dialog ini kerana banyak maklumat baharu diperoleh.
“Kadang-kadang tu masalah berkaitan dengan makhluk perosak yang menyerang tanaman padi adalah sesuatu yang baharu dihadapi oleh golongan penanam padi.
“Jadi dengan adanya program disantuni sendiri oleh pihak Jabatan Pertanian Perlis, masalah kami penanam padi yang berhadapan dengan penyakit-penyakit padi, diberikan pencerahan,” katanya.
Norhisham berkata, hanya Jabatan Pertanian yang dapat membantu golongan penanam padi dengan maklumat dan jalan penyelesaian yang tepat.
Dalam majlis program yang sama, Pegawai Bahagian BioSekuriti Tanaman, Jabatan Pertanian Negeri, Norlis Ibrahim ketika ditemui berkata, adalah sangat penting untuk para penanam padi ini mengetahui dengan mendalam punca padi bermasalah.
“Sebenarnya, baik berkaitan dengan masalah bakteria atau serangga perosak terhadap tanaman padi, para petani jangan bimbang kerana masih ada jalan keluar,” ujar beliau.
Beliau berkata, para penanam padi perlu memahami punca masalah tanaman padi masing-masing selain daripada menggunakan racun yang disyorkan dan tidak merbahaya. – SM