Politik

Penamaan calon untuk jawatan MPT Bersatu pada 16 Mac- Syed Hamid

KUALA LUMPUR, 26 Jan — Tarikh penamaan calon bagi jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditetapkan pada 16 Mac depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Tan Sri Syed Hamid Albar.

Syed Hamid berkata ia melibatkan jawatan tertinggi seperti Pengerusi, Presiden, Timbalan Presiden dan ahli-ahli MPT dengan pencalonan akan dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang.

“Banyak ramalan (tentang calon)… bagaimanapun kita telah bersedia dan lantik Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri dan Pusat (JPPN dan JPPB) untuk jalankan tugas pada hari berkenaan,” katanya pada di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.

Sementara itu, Syed Hamid berkata proses penamaan calon melibatkan 7,371 jawatan di 189 bahagian yang dilakukan serentak bermula 9 pagi hingga 2 petang tadi berjalan dengan lancar.

Ia melibatkan 2,835 jawatan di semua peringkat bahagian dengan 15 jawatan untuk setiap bahagian Bersatu dan masing-masing 2,268 jawatan untuk peringkat Srikandi dan Armada dengan 12 jawatan setiap bahagian.

Beliau berkata tempoh bertenang untuk calon menarik diri adalah selama tiga hari iaitu bermula esok hingga 29 Jan sebelum petugas di pusat operasi JPP Ibu Pejabat Bersatu membuat saringan borang pendaftaran.

Katanya senarai rasmi calon yang layak bertanding akan dimuktamadkan pada 1 Feb sebelum senarai rasmi dihantar ke JPPN dan JPPB untuk diumumkan dan dipamerkan kepada ahli-ahli.

“Keputusan saringan akan dibuat dengan segera, Bersatu akan teliti sama ada calon layak atau tidak, bankrap, rekod jenayah, kes disiplin parti dan sebagainya,”

“Proses pemilihan menerusi kertas undi untuk semua jawatan itu akan diadakan semasa mesyuarat cawangan yang berlangsung pada 15 Feb hingga 29 Mac. Kertas undi telahpun dihantar ke setiap cawangan di seluruh negara,” katanya.

Untuk pemilihan peringkat cawangan pula, katanya tidak mempunyai sebarang masalah kerana tiada pendaftaran.

“Untuk peringkat cawangan, mereka boleh mengadakan mesyuarat dan buat keputusan dengan cara mengangkat tangan sahaja. Sepatutnya tidak ada masalah,” katanya.

— BERNAMA

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button