Penalti lebih berat diperlukan terhadap pemandu mabuk
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi menggesa Kementerian Pengangkutan dan polis mengenakan hukuman berat terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Ini susulan kejadian baru-baru ini di mana seorang pejalan kaki wanita maut disyaki pemandu mabuk di Kajang, Selangor.
Pada Sabtu, seorang pemandu yang disyaki mabuk dipercayai membunuh seorang pejalan kaki dan mencederakan seorang lagi di Jalan Banting-Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Hassan berkata, pemandu kereta berusia 30-an itu didapati positif menggunakan alkohol dan telah direman empat hari mulai semalam.
Pegawai pendidikan CAP N.V. Subbarow berkata kejadian itu adalah bukti bahawa pemandu mabuk tidak bimbang tentang undang-undang dan kehidupan orang lain.
“Kalau dulu banyak kejadian sebegini berpunca daripada pemandu mabuk, kejadian ini semakin meningkat tanpa rasa takut oleh pemandu mabuk.
“Oleh itu, CAP menggesa bahagian penguatkuasaan Kementerian Pengangkutan dan polis melakukan lebih banyak sekatan jalan raya.
“Pemandu mabuk yang ditangkap tidak boleh dibenarkan terus memandu. Ahli keluarga pemandu mabuk mesti dipanggil untuk mengambil mereka.
“Ini satu-satunya cara untuk memberi pengajaran yang baik kepada pemandu mabuk,” katanya.
CAP, kata Subbarow, turut mencadangkan supaya lesen pemandu mabuk dibatalkan seumur hidup jika menyebabkan kematian.
“Kami menggesa polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk terus memeriksa pemandu mabuk ini setiap hujung minggu. Kami tidak boleh membenarkan orang yang tidak bersalah dibunuh oleh pemandu mabuk ini,” katanya.