Pemulihan Sarawak, Labuan, Perlis petunjuk ada sinar di hujung jalan
PERALIHAN ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara yang melibatkan tiga negeri iaitu Sarawak, Labuan dan Perlis menjadi petunjuk ada sinar di hujung terowong dalam negera membendung Covid-19.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Nasional Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kejayaan peralihan Perlis, Sarawak dan Labuan ke Fasa 3 PPN adalah hasil usaha semua pihak.
Ia juga merupakan pengabsahan kejayaan segenap usaha kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dalam mengekang penularan wabak Covid-19.
“Pengumuman yang disampaikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam atas tekad pengimbangan usaha antara hidup dan kehidupan utamanya telah menunjukkan ada sinar di hujung jalan bagi kita yang sedang berperang dengan pandemik Covid-19.
“Tiga negeri telah beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara. Peralihan ini adalah antara usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dengan selamat dan sihat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, keberhasilan dari Pelan Pemulihan Negara yang dikemudi oleh Kerajaan Perikatan Nasional telah menunjukkan kemajuan dan keberkesanan gerakan untuk memulihkan negara dari segi ekonomi dan sosial.
Menurut Ashraf Mustaqim, penghargaan harus diberikan kepada petugas barisan hadapan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang terus berusaha tanpa berputus asa dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.
Sementara itu beliau berkata, vaksinasi tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan langkah pencegahan Covid-19.
Walaupun telah divaksin menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan keberlangsungan hidup dalam norma baharu.
“Dengan bekalan vaksin menjangkau 12 juta dos yang tiba pada bulan lepas, sasaran kerajaan mencapai tahap imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini adalah cerah.
“Formulanya mudah. Bila ramai dapat vaksin, ramai yang terlindung. Bila ramai dah terlindung, beban sistem kesihatan boleh dikurangkan.
“Bila ini berjaya, kita boleh keluar dari rumah, buat aktiviti harian macam biasa. Berniaga, bekerja, beriadah. Tapi yang paling penting, semua ini boleh dilakukan dengan selamat,” katanya.-SM