Pemuda suara mirip Sudirman diintai 3 syarikat rakaman
MUAR 3 Mac – Seorang pemuda, Arish Mikael Kamarulzaman, 19, yang tular kerana memiliki suara persis penghibur legenda, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad terus mendapat perhatian.
Sejak tular video anak kedua daripada tiga beradik yang suaranya mirip Sudirman itu busking di Laman Maharani dekat sini, dia terus menjadi perhatian beberapa komposer yang teruja dengan suaranya yang dikatakan cukup unik.
Susulan itu, Arish dipelawa untuk muncul menerusi program Meletop bergandingan dengan anak saudara Allahyarham, Atai menyanyikan lagu Merisik Kabar dan Hujan dalam segmen khas memperingati Allahyarham.
Arish ketika ditemui selepas busking di Laman Maharani semalam berkata, tiga syarikat rakaman setakat ini berminat untuk melamarnya menjadi artis bagi menghasilkan sebuah album.
Tanpa mahu memberitahu tiga syarikat tersebut dia berkata, pertemuan dengan pihak terbabit masih di peringkat awal dan belum sebarang kontrak dimeterai.
“Saya terkejut dihubungi syarikat terbabit dan mereka melahirkan hasrat untuk menawarkan saya sebagai artis bernaung dengan mereka.
“Perbincangan lanjut belum diadakan lagi. Saya bertemu dan berbincang banyak perkara.
“Saya hanya berserah kepada mana-mana syarikat jika berminat menawarkan saya tempat untuk menghasilkan album pertama,” ujarnya.
Aris berkata, sebelum ini dia bertemu dengan penyanyi dan komposer terkenal Ajai, selepas program Meletop, Selasa lalu.
Menurutnya yang juga boleh bermain gitar, dia bertemu komposer itu di studionya di TTDI.
“Pertemuan hampir dua jam banyak berkisar hal muzik dan dia menasihatkan saya jangan sia-siakan bakat unik yang ada pada diri saya,” ujarnya.
Pun begitu kata Arish, dia tidak kisah sama ada menjadi artis atau tidak, dia tetap meneruskan aktiviti busking sepenuh masa.