Pemimpin UMNO perlu turun padang bantu rakyat terjejas – Ismail Sabri
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu para pemimpin parti itu supaya turun padang bagi membantu masyarakat yang terjejas tempoh PKP penuh kali ini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, jentera UMNO perlu turun bertemu akar umbi bagi mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, PKP penuh yang dilaksanakan kerajaan adalah bertujuan bagi membendung dan memutuskan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
Kerjasama semua pihak kata beliau amat diperlukan agar mematuhi SOP COVID-19 kerana kita lah yang menjadi penentu kejayaan sama ada penularan wabak ini dapat diputuskan ataupun tidak.
“Dua minggu yang kritikal ini saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya patuh pada SOP yang telah ditetapkan dan duduklah di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.
“Selaku Naib Presiden UMNO, saya menyeru kepada seluruh pemimpin UMNO di peringkat akar umbi serta jentera UMNO supaya turun ke bawah mendegar keluh kesah rakyat yang terkesan akibat PKP penuh dilaksanakan kerajaan.
“Jentera UMNO di setiap peringkat harus berada dalam keadaan bersiap siaga dan sedia berkhidmat termasuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang terjejas ketika “total lockdown” ini,” katanya.
UMNO sememangnya ujar beliau berpegang kepada tradisi membela kebajikan rakyat yang menjadi teras perjuangan sehingga parti keramat ini terus kekal relevan sampai ke hari ini.
Tradisi membela nasib rakyat perlu terus diperkasakan ketika pandemik COVID-19 ini. UMNO perlu menjadi juara membela nasib rakyat, katanya.
“Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pastikan pematuhan SOP sentiasa dijaga dan amalkan kawalan kendiri yang ketat,” katanya.