Pena Cikgu Kamarul

PEMIMPIN POLITIK NORMA BARU

“Kita mungkin tidak sedar bahawa kadang-kadang sesuatu itu musnah hanya kerana ia hendak digantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik”, kata Cikgu Mohamed Noh Abdullah bekas guru besar yang kini menghabiskan masanya dengan membuat kerja-kerja pertukangan yang digemarinya.

“Semasa kecil saya dan rakan-rakan suka ke pantai berdekatan, setiap kali selepas berlakunya air pasang besar. Ketika itulah kami akan temui pelbagai batu-batu yang putih jernih dan cantik. Di situ jugalah kami berjaya menangkap ikan-ikan yang terperangkap di lopak-lopak air. Kata orang-orang tua, sekali air bah, sekali pantai berubah”, kata  pendidik yang kini berusia 62 tahun itu.

Ketika wabak Covid 19 menyusun atur kehidupan lalu membawa cara hidup baru kepada manusia,  kecelaruan politik di tanah air membimbangkan ramai. Ketidaktentuan serta percaturan dalam merebut kuasa membawa implikasi buruk kepada negara apabila pelabur-pelabur mula bimbang untuk melabur di negara ini.

“Kita tidak perlu takut kepada perubahan. Mungkin ini lebih baik untuk negara. Seorang pelayar tidak mampu menemui lautan dan dunia baru jika dia sendiri tidak mempunyai keberanian untuk meninggalkan pantai. Sebenarnya sama seperti malapetaka alam, apa yang berlaku dalam politik negara banyak membawa kebaikan. Sebagai contohnya, sekarang kita baru ‘kenal’ para pemimpin politik  kita. Ada yang tidak punya pendirian dan ada yang tidak punya semangat setikawan, mahu pun perjuangan. Disebalik itu pula, kita mula nampak permata yang timbul dan muncul.”

Cikgu Mohamed Noh melihat bahawa beberapa orang yang selama ini tidak didendang mempunyai kebolehan untuk muncul sebagai  pemimpin rakyat yang tulen.

“Di Malaysia, politik   kita berlegar kepada beberapa  nama besar sahaja. Sedangkan kita mempunyai ramai pemimpin lain yang mempunyai nilai-nilai murni yang madani.

Guru Besar yang sarat dengan pengalaman ini  menyenaraikan tiga orang pemimpin politik yang dilihatnya mempunyai kebolehan tersendiri. Sekarang kita mula melihat kebolehan Datuk Seri Ismail Sabri (Menteri Pertahanan) , Mahdzir Khalid ( bekas Menteri Pendidikan dan kini Pengerusi TNB) dan Dr Dzulkefly Ahmad ( bekas Menteri Kesihatan dari Parti Amanah Negara). “

Pada pandangan beliau dalam keadaan dunia hari ini, kita perlu kurangkan masa untuk berpolitik kerana tanpa kita sedari negara-negara jiran sedang meninggalkan kita dari sudut pembangunan.

Cikgu Mohamed Noh mengatakan bahawa ketiga-ketiga pemimpin yang disebutnya ini telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri dengan begitu cemerlang kerana mereka membawa aura yang begitu positif.

“Saya suka Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.  Jika semua ahli politik kita belajar cara mereka berpolitik, pasti negara kita akan maju ke hadapan. Mereka tidak menghabiskan masa dengan politik perpecahan tetapi menumpukan perhatian kepada tugas. Kenyataan yang keluar dari mulut mereka semuanya menjurus kepada perpaduan bangsa dan kemajuan negara bukannya menikam pemimpin lain. Kita perlukan pemimpin-pemimpin macam ini untuk bersaing dengan negara jiran. “

Beliau juga berpandangan bahawa Dr Dzulkefly mempunyai kebolehan sebagai seorang Menteri tetapi malangnya beliau berada di pasukan yang salah.

Kata Martin Luther King ‘Ukuran terhadap kehebatan seseorang itu bukannya dilakukan ketika dia berada di kerusi empuk dan keselesaan. Malahan Ukuran sebenar terhadap seseorang itu dilakukan ketika dia mendepani saat-saat sukar dan mencabar’.

“Ketiga-tiga pemimpin ini mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk Malaysia bangkit semula dari kejatuhan dan cabaran yang dihadapi sekarang”, kata Cikgu Mohamad Noh mengakhiri perbualan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button