Nasionalpilihan

Pemilik premis rugi teruk Bazar Aidilfitri didirikan di Klebang Utama

Pemilik premis perniagaan di Klebang Utama dekat sini meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak lagi membenarkan bazar Aidilfitri didirikan di kawasan laluan dan parkir di situ.

Para peniaga mendakwa sejak dua tahun lalu mereka menanggung kerugian antara RM10,000 hingga RM35,000 sepanjang bulan puasa apabila bahagian hadapan premis ditutup oleh khemah yang didirikan untuk bazar berkenaan beroperasi.

Bukan setakat pemilik premis terjejas tetapi majoriti penduduk di Taman Klebang Utama yang terletak berdekatan turut membantah pembukaan bazar tersebut yang menghalang laluan keluar masuk ke rumah kediaman mereka.

Mohamad Fazil Shafie.

Pemilik premis makanan segera MarryBrown, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie berkata, pihaknya menanggung kerugian RM10,000 pada 2021 dan RM15,000 pada tahun lalu apabila operasi perniagaannya ditutup oleh khemah bazar yang didirikan di situ.

Keadaan itu katanya telah menyebabkan ramai pelanggannya tidak dapat memasuki premisnya kerana berlaku kesesakan di bazar itu selepas waktu berbuka puasa.

“Bukan saya sahaja mengalami kerugian tetapi ramai peniaga yang menyewa premis di sini mengalami nasib yang sama apabila bahagian hadapan ditutup khemah bazar.

“Macam mana pelanggan nak datang makan atau membeli belah kerana kesesakan pelanggan bazar selain terpaksa meletakkan kereta jauh dari situ selain kesesakan jalan raya yang teruk,” ujarnya di sini hari ini.

Justeru beliau telah menghantar surat bantahan kepada MBMB meminta agar bazar di Klebang Utama tidak didirikan di situ bulan depan sebaliknya dipindahkan ke kawasan pantai Klebang tidak jauh dari situ.

Shahril Mahmood.

Bagi seorang lagi peniaga restoran Teeko Cafe, Shahril Mahmood berkata, sejak bazar Aidilfitri didirikan di situ perniagaannya mengalami kerugian paling teruk sepanjang bulan puasa iaitu pada 2021 sebanyak RM30,000 dan tahun 2021 pula RM35,000.

“Macam mana nak berniaga kalau bahagian hadapan premis ditutup dengan khemah. Meja untuk pelanggan makan pun saya tidak dapat buka di ruang hadapan,” ujarnya.

Justeru dia berharap MBMB untuk mempertimbangkan keluhan mereka dan tidak mahu buat tahun ketiga dia menanggung kerugian yang lebih teruk.

Shyafiqah Shamsuddin.

Bagi pemilik Mix & Grilled Cafe, Shyafiqah Shamsuddin pula berkata, dia mengalami kerugian antara RM16,000 hingga RM20,000 apabila pelanggan tidak dapat memasuki premisnya kerana ditutup khemah bazar.

Katanya, ada ketika pendapatan yang diperolehi antara RM400 hingga RM1,000 sehari berbanding bukan dibulan puasa mereka mampu meraih pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sehari.

“Saya terpaksa buka kedai dari pukul 5.00 petang hingga 9.00 malam sebab tidak ada pelanggan memasuki premis untuk menikmati hidangan kerana susah nak bergerak dan tak nampak kedai,” ujarnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button