Politik

Pemilihan KM Sabah ikut jumlah sokongan ADUN – Najib

PELANTIKAN Ketua Menteri Sabah yang baharu jika Gabungan Rakyat Sabah menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan dilakukan mengikut Perlembagaan.

Menurut Ahli Parlimen Pekan (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak, sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang kelak akan menentukan individu yang akan dilantik sebagai ketua menteri Sabah.

Justeru beliau meminta Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah yang membentuk kerjasama Gabungan Rakyat Sabah untuk menunggu sehingga PRN Sabah selesai.

“Macam mana pun kita kena patuh pada Perlembagaan. Perlembagaan sebut mana-mana ADUN yang mendapat sokongan majoriti dari kalangan ADUN-ADUN lain dia akan dilantik sebagai Ketua Menteri.

“Jadi makna kita tunggulah keputusan nanti akan menentukan pati mana, individu mana yang dapat sokongan majoriti dalam kalangan ADUN-ADUN itulah yang akan menjadi penentu muktamad,” kata Najib ketika ditemui media.

Sebelum ini Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin memberi bayangan kemungkinan Ketua Badan Pimpinan Parti Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor dilantik sebagai calon Ketua Menteri Sabah jika Gabungan Rakyat Sabah berjaya menawan Negeri Di Bawah Bayu daripada Warisan Plus.

Berucap di pekarangan Ibu Pejabat Bersatu Tuaran semalam, Perdana Menteri berkata, jentera parti mesti bekerja kuat bagi membantu kemenangan calon gabungan berkenaan.

Bagaimanapun kata beliau, perkara itu akan dibawa berbincang dengan rakan-rakan sekutu lain termasuk BN.

“Kita mesti bekerja kuat bantu calon kita. Manalah tahu kalau rakan-rakan kita dalam Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan yang lain pun bersetuju yang terbaik yang kita tawarkan sebagai calon untuk memimpin negeri Sabah, tak lain tak bukan Datuk Seri Hajiji.

“Saya tidak mahu sambung lagi, kita semua doa dengan izin Allah bahawa selepas selesai pilihan raya, Datuk Seri Hajiji akan terpilih sebagai calon di sini,” katanya.

Sementara Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, pemilihan Ketua Menteri Sabah akan ditentukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah yang menang pada PRN Sabah.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan diputuskan apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

“BN memutuskan bahawa Ketua Menteri Sabah hanya akan dipilih oleh ADUN BN dan rakan kongsi politik mereka,” katanya menerusi kiriman di Twitter.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button