
Pembiayaan fleksibel untuk kontraktor PKMM
PERSATUAN Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) terus memperkukuhkan peranannya dalam menyokong kontraktor tempatan dengan menjalin kerjasama strategik bersama Planworth Global Factoring. Melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) ini, lebih 60,000 ahli PKMM serta kontraktor lain di seluruh negara berpeluang memperoleh akses kepada pembiayaan yang lebih fleksibel dan cepat.
Presiden PKMM, Dato’ Mohd Rosdi Ab Aziz, menegaskan bahawa inisiatif ini penting bagi mengatasi cabaran modal pusingan yang sering dihadapi oleh kontraktor, khususnya mereka dalam kategori kecil dan sederhana.
“Kami memahami kesukaran kontraktor dalam mendapatkan pinjaman konvensional daripada bank, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru memulakan perniagaan. Ramai yang berdepan dengan kekangan modal untuk melaksanakan projek, termasuk projek kerajaan.
“Dengan adanya kerjasama ini, ahli PKMM akan mendapat akses kepada pembiayaan yang lebih cepat dan fleksibel, membolehkan mereka terus berkembang dalam industri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Dato’ Kuek Andy, yang berlangsung minggu lalu di ibu pejabat Planworth.
Menurut Dato’ Rosdi, PKMM telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap beberapa syarikat pemfaktoran sebelum memilih Planworth kerana reputasinya dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang cekap dan menyeluruh.
“Perkhidmatan yang ditawarkan oleh Planworth bukan sahaja membantu ahli PKMM, malah semua kontraktor lain yang memerlukan modal kerja. Oleh itu, saya menyeru kepada kontraktor di seluruh negara untuk memanfaatkan kemudahan pembiayaan yang ditawarkan.
“Kerjasama ini diharap dapat memperkukuhkan sektor pembinaan negara dan meningkatkan daya saing kontraktor tempatan,” ujarnya.
Penyelesaian Pembiayaan Tanpa Cagaran, Kelulusan Cepat
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Dato’ Kuek Andy, menjelaskan bahawa syarikatnya menawarkan pembiayaan invois (invoice financing) sebagai alternatif kepada pinjaman konvensional, yang membolehkan kontraktor menerima sehingga 80% daripada nilai invois tanpa sebarang cagaran.
“Jika jumlah tersebut tidak mencukupi, kami juga menawarkan pembiayaan pesanan belian (PO) untuk membayar pembekal secara langsung, serta kemudahan modal kerja atau term loan.
“Selain itu, Planworth turut mengeluarkan surat sokongan kewangan bagi membantu kontraktor mengukuhkan kredibiliti mereka ketika membida tender. Surat ini sangat popular dalam kalangan kontraktor dan peniaga dalam industri lain kerana dapat meningkatkan kepercayaan pihak berkepentingan,” katanya.
Menurut Dato’ Andy, selain pembiayaan dalaman, Planworth juga mempunyai akses kepada kemudahan perbankan daripada beberapa institusi kewangan terkemuka bagi memastikan kelancaran penyediaan dana kepada kontraktor.
“Proses kelulusan dan perolehan dana secara purata hanya mengambil masa seminggu selepas dokumen lengkap diterima.
“Demi menyokong industri pembinaan dan pertumbuhan ekonomi negara, Planworth terbuka untuk membiayai kontraktor dari semua kategori, iaitu G1 hingga G7,” jelasnya.
Memperkasa Kontraktor Tempatan untuk Bersaing di Peringkat Global
Kerjasama antara PKMM dan Planworth dijangka memberi impak positif yang besar dalam pembangunan sektor pembinaan negara. Menurut Dato’ Andy, kemudahan pembiayaan yang ditawarkan membolehkan kontraktor memberi tumpuan penuh kepada pelaksanaan projek tanpa perlu bimbang mengenai modal kerja.
“Kami mahu membantu kontraktor bersiap sedia untuk bersaing dengan pemain antarabangsa dan memastikan mereka tidak terpinggir pada masa akan datang.
“Ini adalah cabaran besar dalam sektor pembinaan dan kami percaya melalui kerjasama ini, kontraktor tempatan akan lebih bersedia untuk menghadapi persaingan global,” katanya.
Planworth merupakan institusi kewangan bukan bank terbesar di Malaysia dan penerima Anugerah Enterprise 50 pada tahun lalu. Syarikat ini turut diiktiraf sebagai institusi 4 Bintang oleh Meranti (SME Corp), membuktikan komitmennya dalam membantu syarikat pembinaan memperkembangkan perniagaan mereka dengan lebih pantas dan cekap.
“Membantu menyelesaikan keperluan kewangan pelanggan adalah satu penghormatan bagi kami di Planworth. Saya percaya jika kita bersama-sama memajukan ekonomi negara, semua pihak akan mendapat manfaatnya,” ujar Dato’ Andy.
Mengenai Planworth
Planworth ialah peneraju pasaran dalam pembiayaan invois dan pembiayaan rantaian bekalan yang terkemuka di Malaysia serta telah mengembangkan operasi ke Singapura. Planworth juga pemenang E50 tahun 2024 dan diiktirafkan empat bintang oleh agensi Kerajaan SME CORP, Meranti. Sebagai sebahagian daripada Grand Columbia Group yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun, Planworth menyediakan penyelesaian kewangan yang dipercayai, fleksibel dan inovatif kepada vendor serta penyedia perkhidmatan bagi PMKS, GLC dan sektor swasta dalam pelbagai industri.
Dengan rekod pencapaian yang kukuh dalam memperkasakan perniagaan kecil dan sederhana dalam pelbagai industri, Planworth menawarkan pembiayaan yang cekap, mudah, dan boleh dipercayai tanpa cagaran. Planworth juga berdaftar di bawah MOF & E-Perolehan membolehkan ia berperanan lebih aktif dalam menyokong ekosistem perniagaan tempatan dan yang berniaga dengan agensi-agensi kerajaan dan GLC.
Mengenai PKMM
Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ditubuhkan bagi memperjuangkan hak dan kepentingan kontraktor Melayu dan Bumiputera secara kolektif di Malaysia. Persatuan ini berperanan sebagai wakil rasmi untuk menyuarakan permasalahan kontraktor kepada kerajaan dan pihak berkepentingan, memastikan mereka mendapat peluang yang adil dalam industri pembinaan negara.