Agama

MAIPs lancar tabung wakaf tunai

Simpang Empat,
3 Mac 2025 (Isnin) | 3 Ramadan 1446H –Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus mengorak langkah memperkasakan institusi wakaf di negeri ini dengan pelancaran Tabung Wakaf Tunai Masjid-MAIPs (TaWaF) yang berlangsung di Masjid Putra Simpang Empat.

Demikian menurut kenyataan MAIPs. Majlis ringkas namun bersejarah ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang baharu, Maizura Shamsuddin. Turut hadir Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Mat Rejab.

Dalam ucapannya, Mohd Nazim menegaskan bahawa MAIPs komited dalam memastikan pengurusan dana wakaf dilaksanakan dengan penuh integriti dan ketelusan. Menurut beliau, TaWaF bukan sahaja berperanan mengumpul dana wakaf, tetapi juga sebagai platform untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan wakaf dalam pembangunan ummah.

“Kita mahu menjadikan wakaf sebagai budaya dalam masyarakat. Wakaf bukan hanya melibatkan tanah atau aset besar, tetapi juga boleh dilakukan secara tunai dan berperingkat. Dengan sokongan semua pihak, inisiatif ini mampu memperkukuhkan peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti yang lebih efektif,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan TaWaF akan dikembangkan ke seluruh negeri Perlis secara berperingkat bagi memastikan lebih banyak masjid dapat terlibat secara langsung dalam usaha memperluaskan manfaat wakaf kepada komuniti setempat.

Sementara itu, Mohd Nazri pula menambah bahawa pelaksanaan Tabung Wakaf Tunai Masjid-MAIPs merupakan satu inisiatif bagi memperkasa amalan wakaf dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini. Beliau menegaskan bahawa melalui TaWaF, setiap masjid di Perlis akan memiliki tabung wakaf tersendiri yang dikendalikan secara sistematik untuk manfaat jemaah dan masyarakat setempat.

“Dengan adanya TaWaF, kita ingin menggalakkan lebih ramai umat Islam menyumbang kepada wakaf secara tunai, sama ada dalam jumlah kecil atau besar. Ia satu kaedah mudah bagi memastikan lebih ramai dapat menyertai ibadah wakaf dan memperoleh ganjaran berpanjangan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa MAIPs akan bekerjasama dengan pihak masjid dalam aspek pengurusan serta promosi TaWaF bagi memastikan keberkesanannya dan menarik lebih ramai penyertaan daripada masyarakat.

(Foto : Kredit MAIPs)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button