Mahkamah

Pembebasan Musa Aman berdasarkan afidavit Abdul Gani Patail

JABATAN Peguam Negara menarik balik semua 46 pertuduhan dikenakan ke atas bekas ketua menteri Sabah berkenaan, Tan Sri Musa Aman berdasarkan afidavit yang diikrarkan oleh bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail,

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, pada 13 Mei lalu Musa telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara memohon supaya kes pendakwaan terhadapnya ditarik balik dan semua pertuduhan dibatalkan.

Kata Idrus, pada 5 Jun pula, Jabatan Peguam Negara menerima satu afidavit yang telah difailkan di mahkamah oleh Musa Aman.

RIZA
IDRUS HARUN

Katanya, berdasarkan afidavit Abdul Gani, bekas peguam negara itu telah mempertahankan keputusan Jabatan Peguam Negara pada 2012 untuk tidak mengambil apa-apa tindakan (no further action atau NFA) terhadap Musa.

Ini memandangkan siasatan mendapati wang yang terlibat adalah sumbangan politik (political funding).

“Mantan peguam negara juga menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat secara kolektif oleh individu peringkat atasan, iaitu, bekas ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Abu Kassim Mohammad (bekas ketua pesuruhjaya SPRM), dan Mustafar Ali (bekas pengarah siasatan SPRM).

“Setelah kertas siasatan dikaji dan diteliti daripada sudut perundangan, mantan peguam negara menggunakan budi bicara beliau dan memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan pendakwaan,” kata Idrus dalam satu kenyataan hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Musa, 69, daripada 30 pertuduhan rasuah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan kontrak konsesi balak di Sabah selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya dan membenarkan permohonan pembelaan agar tertuduh dibebaskan.

Katanya, disebabkan terdapat representasi dan perkembangan terbaharu dalam bentuk afidavit Abdul Gani itu,  maka menjadi tanggung jawab Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula keseluruhan keterangan bagi kes Musa.

Katanya, setelah diteliti semua keterangan dan setelah melakukan perbincangan dengan pasukan pendakwaan dan siasatan kes tersebut, diputuskan untuk menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Musa .

“Dalam kes-kes seperti ini, keterangan dokumentar adalah amat diperlukan bagi tujuan pembuktian kes.

“Keterangan dokumentar syarikat dan perbankan yang dijangka didapati tidak dapat diperolehi secara permohonan bantuan bersama dalam perkara jenayah (Mutual Legal Assistance) dari Hong Kong,” katanya.

Malah kata Idrus, Jabatan Kehakiman Hong Kong baru-baru ini juga memaklumkan syarikat dan bank di Hong Kong hanya dikehendaki menyimpan rekod masing-masing selama tujuh tahun.

Justeru, katanya, kemungkinan besar bahawa syarikat dan bank berkenaan tidak lagi memiliki rekod atau dokumen berkenaan.

“Selain itu, terdapat saksi-saksi utama bagi pihak pendakwaan yang meninggal dunia, mengalami masalah kesihatan yang serius atau tidak lagi berada di Malaysia.

“Perkembangan terbaru ini – termasuk afidavit sokongan yang telah difailkan – menyebabkan keadaan yang tidak mewajarkan pertuduhan diteruskan terhadap Musa,” kata Idrus.

Menurut Idrus, keputusan itu diperkuatkan lagi dengan sepucuk surat bertarikh 22 Disember 2011 daripada Suruhanjaya Bebas Antirasuah Hong Kong yang menyatakan siasatan mereka terhadap Musa sudah lengkap, dan berdasarkan fakta yang diketahui, tiada tindakan siasatan lanjut akan dijalankan.

“Keputusan yang dibuat ini adalah menurut kuasa yang boleh djalankan menurut budi bicara saya seperti yang termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button