Pembangunan Pahang Barat tumpuan pertumbuhan ekonomi baharu
MENTERI Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengetuai delegasi ke Pahang Barat sebagai sebahagian daripada Program Jelajah Belanjawan 2022 semalam.
Beliau telah melawat Bandar Kuala Lipis, Temerloh dan tapak RAMSAR di Tasik Bera untuk meninjau keperluan pembangunan di Wilayah Pahang Barat Plus bagi memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang dilaksanakan untuk merealisasikan potensi wilayah ini sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu Negeri Pahang.
Pahang Barat Plus merangkumi daerah Bentong, Cameron Highlands, Raub, Lipis, Jerantut dan Bera.
Turut serta dalam lawatan kerja tersebut adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Pelan Induk ECER 2.0 telah mengenal pasti projek-projek untuk pelaksanaan bagi menyokong pembangunan kluster industri utama di Pahang Barat.
Lanjutan daripada itu,Kajian Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus 2021 kini sedang dijalankan
di bawah oleh Unit Pahang Barat Plus, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Pahang untuk merancakkan pembangunan di kawasan ini.
Pelan ini merangkumi strategi untuk meningkatkan pelaburan dari pembangunan ekonomi dalam kluster industri utama seperti pelancongan, pertanian, perkayuan, perlombongan dan IKS, menambahbaik infrastruktur terutamanya sistem perhubungan jalanraya, telekomunikasi dan bekalan utiliti serta pembangunan modal insan termasuk pembangunan Orang Asli dan pembangunan usahawan IKS.
“Projek-projek dalam perancangan dan dalam pelaksanaan adalah selaras dengan strategi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) untuk menambah baik kesalinghubungan dan infrastruktur pengangkutan dan akan merangsang ekonomi setempat.
“Projek infrastruktur strategik seperti Jalan Central Spine (CSR) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya adalah “game changer” bagi Pahang Barat.
Projek ini mampu mengubah lanskap ekonomi kerana ia akan memendekkan jarak perjalanan antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia serta membantu membuka kawasan kegiatan ekonomi baharu dan pelaburan di sekitarnya,” kata Baidzawi.
Pembangunan Pelancongan di Pahang Barat Antara pemacu utama pertumbuhan sosioekonomi di Pahang Barat adalah sektor pelancongan. Pahang Barat yang kaya dengan alam semula jadi dan warisan, menawarkan pengalaman “experiential tourism” yang unik melalui destinasi ekopelancongan dan pelancongan bertemakan warisan.
Pembangunan pelancongan Jejak Harimau Malaya (MTT) telah dikenal pasti sebagai tarikan utama bagi pencinta eko-pengembaraan dan akan dibangunkan.
Pada masa yang sama, Pembangunan Pelancongan Warisan Lipis melibatkan usaha menaik taraf serta pengekalan bangunan bersejarah dan struktur senibina kolonial di Kuala Lipis termasuk Bangunan Pahang Club dan Muzium Warisan Lipis.
Projek-projek menaik taraf bangunan-bangunan bersejarah di Kuala Lipis akan menambahbaik kemudahan asas
pelancong dan menyumbang ke arah pembangunan pelancongan warisan yang mampan.
Selain daripada itu, Menteri Kewangan turut meninjau pesisir Sungai Jelai, sebuah lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan. Penaiktarafan infrastruktur di Sungai Jelai akan menjadikannya tumpuan masyarakat untuk beriadah dan mampu merangsang ekonomi kawasan berdekatan.
ECERDC juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan dan infrastruktur sokongan di Taman Eko-Rimba Mossy Forest, Cameron Highlands untuk menjadikannya sebagai destinasi premier eko-pelancongan.
“Projek-projek oleh Kerajaan Negeri Pahang dan ECERDC ini penting untuk memberi nafas baharu dan mengetengahkan Pusat Bandar Kuala Lipis sebagai gerbang pelancongan eko serta warisan sejarah Pahang dan Malaysia. Ia akan menggalakkan pelancongan warisan yang mampan di Pahang Barat,” Ketua Pegawai
Eksekutif, Unit Pahang Barat Plus. Harizah Hassan.