Pembangkang minta PM beri ruang teliti Belanjawan 2021
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin diminta untuk memberi ruang kepada ahli parlimen pembangkang meneliti keseluruhan Belanjawan yang dicadangkan oleh kerajaan.
Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh berkata, permintaan itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar Muhyiddin mengutamakan kepentingan negara dan kebajikan rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2021 itu nanti.
Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, kerapuhan dan ketidakstabilan kerajaan mendorong kepada keperluan mendesak agar proses konsultasi biparti oleh kerajaan dan pembangkang dimulakan demi kepentingan negara.
“Oleh yang demikian, Wanita Keadilan mendesak demi mempertahankan prinsip semak dan imbang dan menyikapi semangat demokrasi sebagai tunjang institusi Parlimen, adalah wajar ketika ini Perdana Menteri memulakan proses konsultasi tersebut dan memberikan ruang kepada semua ahli Parlimen untuk meneliti keseluruhan Belanjawan yang dicadangkan oleh Kerajaan,” kata Fuziah.
Wanita PKR juga berpandangan, Belanjawan yang dicadangkan mestilah menumpukan kepada kesejahteraaan rakyat khususnya yang terkait rapat dengan isu pengangguran kritikal dalami kalangan belia disebabkan Covid-19.
Belanjawan itu juga harus inklusif, melindungi golongan rentan serta responsif gender khususnya melihat kepada isu-isu sosial yang terkait dengan impak pandemik.
“Kekuatan institusi Parlimen sebagai institusi yang melaksanakan prinsip semak dan imbang mesti dipertahankan dalam apa jua keadaan.
“Dan dalam masa yang sama Wanita PKR menggesa proses konsultasi biparti dimulakan segera oleh kerajaan tanpa lengah demi kepentingan negara,” kata Fuziah.
Pembentangan Belanjawan 2021 dijangka menjadi tumpuan apabila Dewan Rakyat kembali bersidang selama 27 hari mulai 2 November ini.
Kerajaan menetapkan 6 November sebagai tarikh baharu pembentangan Belanjawan 2021.-SM