fbpx
Nasional

Hishammuddin nafi ambil langkah jadi TPM

BENDAHARI Barisan Nasional Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menegaskan beliau tidak pernah mengambil sebarang langkah untuk merebut jawatan timbalan perdana menteri.

Menteri Luar itu berkata, artikel sebuah portal berbahasa Cina melaporkan beliau antara calon untuk jawatan timbalan perdana menteri telah mengundang pelbagai reaksi.

“Merujuk artikel Sin Chew Daily yang mengaitkan saya sebagai salah seorang calon Timbalan Perdana Menteri sekaligus mengundang pelbagai persoalan dan reaksi.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengadakan usaha ke arah perkara tersebut. Malah saya berterima kasih kepada parti kerana menyokong saya mewakili UMNO sebagai Menteri dalam Kerajaan hari in,” kata Hishammuddin.

Sejak beberapa hari lalu beberapa nama dari kalangan pemimpin UMNO dikaitkan sebagai calon timbalan perdana menteri.


Selain Muhyiddin turut disebut-sebut adalah Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hishammuddin berkata, jawatan bukanlah perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan ketika ini dalam negara sedangan berhadapan dengan penularan Covid-19.

“Saya percaya, perkara terpenting yang menjadi fokus Kerajaan dan UMNO sekarang ialah sidang Parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis COVID-19, bukan soal jawatan.

“Pendirian ini selari dengan kenyataan media Presiden UMNO dan keputusan Majlis Tertinggi UMNO tempoh hari iaitu menyahut seruan Baginda Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak berhenti berpolitik seterusnya bersatu memerangi COVID-19.

“Apa jua pendirian dan keputusan adalah demi kepentingan parti – dulu, kini dan selamanya,” kata Hishammuddin.

Sejak Perikatan Nasional mengambilalih kerajaan Mac lalu Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai jawatan timbalan perdana menteri.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya melantik empat  Ahli Parlimen sebagai Menteri Kanan sebagai penganti jawatan tersebut.

Namun sejak seminggu lepas khabar angin bertiup kencang kononnya Muhyiddin akan melantian seorang timbalan perdana menteri dari parti UMNO.

Beberapa media melaporkan UMNO dijangka akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan calon Timbalan Perdana Menteri dan syarat-syarat yang akan dikemukakan parti itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.-SM

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button