Nasional

Pembaharuan pengeluaran i-Sinar diumum minggu hadapan

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memohon dalam Kategori 2 bagi pengeluaran menerusi program i-Sinar mungkin akan menerima berita baik.

Ini kerana Kementerian Kewangan dipercayai akan mengumumkan mengenai pengeluaran i-Sinar tanpa syarat pada minggu hadapan.

Makluman itu diketahui selepas Kementerian Kewangan dilapor mengadakan perbincangan dengan pihak KWSP bagi mengatur kemudahan tersebut.

Perbincangan tersebut termasuklah keperluan implikasi kewangan yang perlu dihadapi oleh KWSP serta sandaran kepada penarikan pelaburan di luar negara.

“Kementerian Kewangan nyatakan veto untuk menyokong pelaksanaan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat. KWSP sedang berbincang tentang jumlah sebenar pengeluaran i-Sinar tanpa syarat.

“Perkiraan awal mendapati, KWSP jangkakan memerlukan RM108 bilion berbanding RM33 bilion jika i-Sinar bersyarat.

“Jika dibuat bayaran sekali, KWSP perlu menarik beberapa pelaburan di luar negara untuk menyokong proses pembayaran itu.”

Demikian laporan Astro Awani hari ini yang memetik sumbernya memaklumkan mengenai perkembangan bagi permohonan Kategori 2 menerusi program i-Sinar.

Menurut laporan itu lagi, KWSP dikatakan sedang meneliti penarikan balik pelaburan yang berupaya untuk memenuhi keperluan program i-Sinar.

Terdahulu, seramai 3.18 juta pemohon menerima kelulusan pengeluaran simpanan daripada KWSP dalam Kategori 1 i-Sinar melibatkan sejumlah wang RM25.3 bilion.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan mengenai Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) meluluskan pengeluaran RM1,000 daripada KWSP.

Jumlah tersebut akan ditolak daripada jumlah permohonan pengeluaran i-Sinar yang asal sekiranya diluluskan nanti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button