Nasional

Pemangku Raja Perlis ziarah balu Tun Mohamed Dzaiddin

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menziarahi balu Allahyarham Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah iaitu Tengku Datuk Paduka Noriah Tengku Ismail di kediaman beliau di Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tengku Noriah ialah bonda saudara kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Beliau merupakan adinda kepada Almarhumah Raja Perempuan Besar Perlis Tuanku Tengku Budriah
Almarhum Tengku Ismail.

Keberangkatan Baginda berdua disambut oleh dua anakanda Allahyarham iaitu Nadjihah Mohamed Dzaiddin dan Datuk Azlan Mohamed Dzaiddin.

Demikian menurut kenyataan Istana Arau.

Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah yang meninggal dunia pada usia 86 tahun di Hospital Prince Court Kuala Lumpur pada minggu lepas disebabkan komplikasi jantung adalah seorang tokoh dalam bidang kehakiman dan perundangan dan merupakan peguam pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara dari tahun 2000 hingga 2003. Beliau pernah mengalami serangan strok tiga tahun lepas.

Anak kelahiran Arau, Perlis itu yang berkhidmat selama 20 tahun dalam bidang kehakiman sebelum bersara pada Mac 2003 mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Arau sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dan menyambung pengajian di Barrister-at-Law, Honourable Society of Middle Temple, Inns of Court, London pada 1961.

Jenazah Mohamed Dzaiddin disolatkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada dua jumaat yang lalu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button