Raja Puan Muda Perlis berangkat ke sambutan Solstis Musim Sejuk
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri program sambutan dan perayaan Solstis Musim Sejuk (Chinese Winter Solstice – Dongzhi) 2024 yang diadakan di Fairy Le Phenomenal Cafe Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Bahagian Wanita Dewan Perhimpunan Cina Negeri Perlis, Dr. Tan Fee Yean.
Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan Cina Negeri Perlis yang turut melibatkan kehadiran Pengerusi persatuan tersebut, Tan Wei Chong, Naib Pengerusi, Tan Kai Pain serta ahli-ahli persatuan bagi memeriahkan sambutan tersebut.
Dr. Tan dalam ucapan aluannya menyatakan, Dongzhi, yang bermaksud “musim sejuk tiba” melambangkan waktu di mana siang menjadi paling pendek dan malam paling panjang dalam setahun dan perayaan ini juga membawa pengertian yang mendalam bahawa selepas kegelapan malam yang panjang, pasti akan hadir sinar baru, menandakan harapan serta permulaan baharu yang penuh kegembiraan.
Menurut beliau, Dongzhi diraikan dengan menikmati ‘tangyuan’, iaitu bebola pulut yang dimakan bersama ahli keluarga yang melambangkan simbol kesatuan dan kekeluargaan, mencerminkan nilai kash sayang dan sokongan sesama ahli keluarga.
“Nilai-nilai yang terkandung dalam perayaan ini, seperti hormat-menghormati, kerjasama, dan sikap saling membantu, adalah elemen penting yang memperkukuh hubungan antara masyarakat berbilang kaum. Apabila perayaan seperti ini diraikan bersama-sama, ia membuka ruang untuk saling memahami dan menghargai budaya serta tradisi antara satu sama lain. Secara tidak langsung, ia memperkukuhkan hubungan sesama kita”, tambah beliau lagi.