Pendidikan

Pemangku Raja Perlis titah semua pihak perlu mainkan peranan laksana transformasi pendidikan

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Sekolah adalah wadah untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui kurikulum kebangsaan yang dirangka khusus untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan’.

Baginda menyeru agar semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencapai transformasi pendidikan berkualiti dan berupaya memberi pendidikan yang bermakna dan berimpak tinggi kepada generasi pewaris negara.

“Guru-guru juga perlu menyahut cabaran ini dengan melengkapi diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan kompetensi berkaitan pedagogi dan pengurusan pengajaran serta pembelajaran (PdP) yang berkualiti, berkesan serta bermakna kepada murid, agar setanding dengan rakan sebaya mereka di negara serantau”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein di Dewan Besar Sharifah Farah Adriana sekolah berkenaan di Arau pagi tadi.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek dan Pengetua sekolah tersebut, Noryah Md Noh.

Majlis ini telah dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Terdahulu daripada itu Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa beliau menaruh harapan agar para pelajar dan warga pendidik di sekolah ini mampu mengimplementasi dan menghayati Dasar Pendidikan Digital (DPD) selaras dengan kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2023-2025.

“DPD adalah bertujuan untuk melahirkan pelajar fasih digital iaitu mampu menjadikan aktiviti pembelajaran sebagai aktiviti yang menyeronokkan dan bermakna. DPD juga turut mengupayakan golongan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasi teknologi digital dalam ekosistem pendidikan kini. Dasar ini juga dilihat mampu menjadi pemangkin dalam pembentukan masyarakat MADANI”, tambah beliau lagi.

Menteri Pendidikan itu berharap warga pendidik dan pihak pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis memberi perhatian kepada Tujuh Teras Utama Pendidikan yang menjadi tumpuan KPM dalam menerajui Sistem Pendidikan Negara terutamanya terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40 termasuk aspek peranti dan ruang pembelajaran.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian majlis dan pengisytiharan nama baru sekolah tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Arau.


Baginda turut menyeru agar pihak KPM, JPN Perlis dan pihak sekolah bergerak seiring, sederap dan seirama untuk memperkukuh sokongan kepada guru-guru melalui program peningkatan kompetensi yang berkesan berdasarkan pengalaman dan keperluan mereka serta mengambil segala inisiatif untuk menggembleng tenaga bagi merapatkan kesenjangan literasi dalam kalangan murid dalam memastikan tiada murid yang tercicir daripada dunia pendidikan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button