Acara

Pemangku Raja Perlis tekankan penting isu buli diberi perhatian serius

PADANG BESAR 7 Sept. – Budaya buli dalam masyarakat sama ada buli di sekolah, pusat-pusat pengajian tinggi ataupun di mana-mana sekalipun perlulah diberi perhatian serius.

Kes buli memberi kesan yang sangat negatif kepada mangsa dan juga pembuli yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal selain itu juga akan memberi kesan yang buruk di masa depan.

Ibu Bapa, Guru-guru dan masyarakat berperanan dalam memberi teladan kepada anak-anak supaya mereka dapat menyesuaikan diri mereka berdasarkan kepada nilai-nilai murni yang telah diterapkan kepada mereka dari usia muda lagi.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Kem Jati Diri Untuk Pelajar-Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis yang diadakan di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Turut hadir sama adalah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Kem ini telah dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama MAIPs, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Rejimen 504 Askar Wataniah serta ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Bank Rakyat yang melibatkan seramai 90 orang pelajar lelaki tingkatan empat terpilih dari sekolah-sekolah menengah di negeri ini pada 3 September sehingga 5 September 2024 yang lalu.

Objektif program ini adalah bagi membimbing peserta agar dapat menerapkan nilai-nilai murni dan jati diri dalam diri setiap pelajar, memberi pendedahan berkenaan dengan isu-isu semasa, memperkukuhkan disiplin di kalangan para peserta dan bersemangat patriotik dan cintakan negara.

Tuanku Pemangku Raja Perlis turut berkenan untuk menyempurnakan Anugerah Peserta Terbaik Keseluruhan kepada Kishsen Rao A/L Sisubalan yang merupakan pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat yang telah berbesar hati untuk menaja program ini secara keseluruhanya untuk dua tahun berturut-turut dalam menjayakan kem ini dan berharap agar program seumpama ini dapat menjadi antara platform bagi mengukuhkan jati diri rakyat negeri Perlis yang “Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan”.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button