Rencah Hidup

Pemangku Raja Perlis berangkat ke pelancaran Malam Citra Warna Kuala Perlis

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan pelancaran Majlis Malam Citra Warna Kuala Perlis dan Majlis Perasmian Festival Rakyat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-81 Tuanku Raja Perlis di Dataran Lok9, Kuala Perlis.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Anakanda Bongsu Baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Majlis tersebut telah dianjurkan oleh ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis.

Dalam titah Tuanku Pemangku Raja menyeru agar semua pihak perlu melipatgandakan usaha dalam memainkan peranan bagi memastikan kebersihan di sekitar Kuala Perlis sentiasa berada pada tahap yang terbaik khususnya di tempat-tempat awam seperti jeti, stesen bas dan teksi, tandas-tandas, masjid, kawasan-kawasan pelancongan serta premis-premis perniagaan terutamanya restoran dan gerai.

Baginda bertitah, pengusaha-pengusaha makanan, penghasilan kraftangan dan produk-produk nelayan di Kuala Perlis perlu mengambil pendekatan yang lebih kreatif dan berinovatif dalam mempelbagaikan lagi pengeluaran masing-masing sebagai buah tangan pelancong dan kenangan manis untuk dibawa pulang.

“Penyelenggaraan dan menaiktaraf infrastruktur tempat parkir kereta adalah elemen yang sangat penting. Semuanya yang ada di sini mestilah selamat, berstruktur dan ceria. Para pengusaha dipohon untuk lebih berperaturan dan diminta untuk melaburkan sedikit modal untuk bersaing mencantikkan lagi kawasan masing-masing”, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi.

Sementara itu Abu Bakar mengucapkan rasa syukur kerana salah satu program yang dirancang dan disusun atur dalam menjayakan Eyes of Kuala Perlis yang dibuat bagi membantu mempromosikan dan menjayakan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 telah berjaya direalisasikan.

“Pelbagai aktiviti dan acara telah disusun-atur dengan baik bermula 24 Mei 2024 sehingga 2 Jun 2024 bagi menjayakan Festival Rakyat yang dijangka mendapat tumpuan masyarakat setempat dan juga pengunjung atas faktor cuti penggal persekolahan”, tambah beliau lagi.


Majlis itu turut diserikan lagi dengan pelbagai persembahan tarian dan nyanyian, perarakan kanak-kanak dan kontinjen melayu berbusana serta perarakan kereta berhias yang melibatkan sebanyak 21 kontinjen melibatkan agensi kerajaan, swasta, badan berkanun dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Tuanku Pemangku Raja Perlis turut menzahirkan pesanan agar setiap individu selain mesti hidup berperaturan, perlu memberikan layanan yang mesra, bertutur dengan nada dan bahasa yang sopan dan baik serta menyantuni para pelancong terutama sekali sepanjang kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 ini berlangsung.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button