Nasional

Pemangku Raja Perlis ketuai lawatan ke Namibia

WINDHOEK (Namibia) – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengadakan lawatan khas mengetuai Program Safar Ilmi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke negara Namibia selama tiga hari.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi sama anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail melalui Addis Ababa, Ethiopia disambut oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia iaitu Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya dan Setiausaha Ketiga, Nurul Athirah Johar di Bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Hosea Kutako Windhoek.

Turut mengiringi Baginda dalam lawatan yang sarat dengan program yang diaturkan oleh pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek itu ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Kemuncak lawatan ini ialah sesi pertemuan Tuanku Pemangku Raja Perlis dengan Timbalan Presiden Namibia, TYT Dr. Netumbo Nandi-Ndaitwah pada hari terakhir lawatan.

Dalam sesi taklimat beliau kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra, Mohd Rameez mempersembah maklumkan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Namibia adalah sentiasa baik.

Menurut beliau, ‘Hubungan ini walaubagaimanapun adalah lebih kepada hubungan di peringkat antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangs-Bangsa Bersatu (PBB) dan keanggotaan Pertubuhan Pergerakan Negara-negara Berkecuali atau NAM serta Komanwel.

‘Kedua-dua buah negara telah mempunyai hubungan diplomatik semenjak Namibia mencapai kemerdekaan pada tahun 1990. Malaysia telah menubuhkan Pejabat Perwakilannya di Namibia pada tahun 1996, manakala Namibia memulakan operasi Suruhanjaya Tingginya di Kuala Lumpur pada tahun 1995 lagi.

Sejurus berangkat tiba pada petamg yang sama Baginda berkenan meluangkan masa melawat Gocheganas Safari Lodge yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dengan kereta dari Windhoek sebelum semua program rasminya bermula pada keesokan paginya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button