Pemangku Raja Perlis jayakan Ziarah Mahabbah MAIPs di Pulau Panjang
PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menjayakan Program Ziarah Mahabbah MAIPs 2023 ke Koh Yao atau dikenali Pulau Panjang di Wilayah Satun, Thailand, semalam.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Turut mengiringi Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Rombongan disambut oleh Timbalan Gabenor Wilayah Satun yang kini menjalankan tugas-tugas Gabenor, Yang DiPertua Majlis Agama Islam Wilayah Satun serta para pemimpin setempat.
Ucapan alu-aluan dipersembahkan oleh wakilnya, Salim Punkitak yang menjunjung kasih kepada Baginda berdua serta berterima kasih kepada MAIPs di atas segala sumbangan yang disalurkan kepada warga pulau tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa bertitah mengingatkan semua supaya mengambil keberkatan pada bulan Ramadan mengukuhkan hubungan sebagai negara jiran iaitu Malaysia dan Thailand dengan terus bersatu padu, bekerjasama dan menjalinkan hubungan silaturahim yang baik.
“Ibadah puasa itu sendiri mempunyai peranan yang penting dalam memupuk persaudaraan di antara manusia,” titah Baginda.
Sehubungan itu titah Baginda, menerusi ibadah ini, umat Islam diajar sifat berkasih sayang dan prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa mahupun agama.
Pemangku Raja Perlis bertitah, saban tahun program Ziarah Mahabbah ini diadakan bagi mengeratkan lagi silaturahim dan keakraban terutamanya sesama seagama dan bukan Islam serta ianya merupakan amalan yang amat dituntut di dalam Islam.
Sempena program kali ini MAIPs menyumbangkan RM20,000 bagi membaikpulih Masjid Pulau Panjang, RM20,000 bagi dana pembangunan Kompleks Majlis Agama Islam Wilayah Satun, RM5,000 bagi aktiviti dakwah dan kemasyarakatan Masjid Puju, Satun dan RM5,000 lagi untuk aktiviti dakwah dan kemasyarakatan Masjid Tanjung Gabus, Satun.
Turut diserahkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam majlis yang diadakan di Bankohyao School itu juga sumbangan kuih raya untuk diagihkan kepada para petugas sempadan dengan Perlis di sebelah Thailand daripada Kerajaan Negeri Perlis dan juga sumbangan kuih raya produk tempatan Perlis untuk para penduduk Pulau Panjang sumbangan daripada MAIPs.
Juga disampaikan kepada masjid di pulau berkenaan ialah satu unit ‘Purifier Cool Autoreact’ yang disumbangkan oleh syarikat Dyson melalui Pemangku Raja Perlis. – SM
BACA Raja Muda Perlis berkenan bertemu dua Menteri South Sudan
BACA Raja Muda Perlis: Promosi pelancongan berterusan dalam bahasa Thai