Alam Sekitar

Pemangku Raja Perlis bertitah supaya kerajaan negeri wujudkan pusat biodiversiti

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri Perlis akan mewujudkan Pusat Biodiversiti Negeri Perlis untuk memastikan khazanah negara dan negeri ini terus terpelihara dan mengukuhkan lagi usaha pemeliharaan sumber biodiversiti negeri ini selain menjadi rujukan penting bagi wilayah utara negara.

Demikian titah Baginda ketika menyempurnakan penanaman pokok yang ke 1 Juta di Perlis sempena Majlis Perasmian Nakawan Rainforest Festival dan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 di Dataran Pejabat Hutan Daerah Perlis Selatan, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke majlis yang turut disekalikan dengan Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Yang Ke-81 itu disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr. Ching Thoo A/l Kim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim dan Pengarah Perhutanan Negeri Perlis Ag. Shaffie Ag. Ahmadni.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru agar kesedaran orang awam tentang kepentingan ilmu pengetahuan sebagai asas dalam usaha pemeliharaan dan penjagaan ekosistem hutan batu kapur dan biodiversiti negara ini perlu dipertingkatkan.

Baginda juga bertitah, ‘Aktiviti penanaman pokok secara berterusan dapat menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk generasi kemudian kelak.

Tuanku Pemangku Raja berharap agar Jabatan Perhutanan akan terus cemerlang dalam menggalas tanggungjawab untuk mengurus khazanah hutan di negeri Perlis selari dengan visi jabatan iaitu “Menjadi Agensi Terunggul Dalam Pengurusan Hutan Tropika Secara Berkekalan”.

Baginda turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian dan pelancaran Buku Mewah berjudul Orchids Of Perlis: The Matchless Gems Of State Park serta pengurniaan sijil kepada rakan-rakan kolaborasi yang menjayakan program tersebut.

Pelbagai jabatan dan rakan kolaborasi yang terlibat termasuklah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Perlis (KEMAS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Negeri Perlis, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis , Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pertubuhan Nadi Sihat, Malim Gunung Perhutanan Negeri Perlis, Tok Abah Outdoor Venture dan Malaysia Nature Society (MNS).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button