PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyampaikan titah ucaptama dan seterusnya merasmikan ‘The International Seminar On Tajdid’ yang berlangsung di Auditorium Islamia College, Rylands Estate, Cape Town, Afrika Selatan.
Seminar tersebut dianjurkan oleh Awqaf South Africa dengan kerjasama International Peace College South Africa (IPSA), Medina Institute, Islamia College, dan Majlis Agama Islam Afrika Selatan (MJC) dihadiri oleh para ilmuan, sarjana dan para penggerak pelbagai organisasi umat Islam di negara tersebut.
Demikian menurut siaran media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah IPSA, Hafiz Advocate Abubakr Mohamed dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Awqaf South Africa (Awqaf SA), Mickaeel Collier.
Dalam titah ucapan Baginda, Pemangku Raja mengingatkan umat Islam supaya bertanggungjawab dan berperanan dalam setiap usaha memartabatkan institusi Islam demi kemajuan, kelangsungan dan kesejahteraan Ummah.
Justeru itulah, kita perlu memastikan setiap institusi atau agensi agama diuruskan dengan baik mengikut konsep tadbir urus Islam yang bijaksana dan mampan.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, ‘Institusi berkaitan Hal Ehwal Islam perlu memberi fokus yang khusus dalam menjaga maslahah agama, melaksanakan pendekatan dakwah dan tarbiah demi memastikan pemeliharaan perpaduan Ummah’.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berharap agar kerjasama dan perkongsian strategik dalam Hal Ehwal Agama Islam akan mewujudkan sinergi positif yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara yakni Afrika Selatan dan Malaysia terutama negeri Perlis.
Terdahulu daripada itu Pemangku Raja dan Raja Puan Muda berkenan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian hasrat kerjasama oleh MAIPs dengan Awqaf SA di Cape Town sempena program ‘Safar Ilmi MAIPs’ ke Afrika Selatan tersebut.
MAIPs diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya, Mohd Nazim Mohd Noor manakala Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mickaeel Collier pula mewakili Awqaf SA dengan hasrat untuk bekerjasama dalam bidang wakaf terutamanya yang melibatkan kerjasama program di peringkat global.
Selain itu, turut dilaksanakan ialah beberapa sesi perbincangan strategik antara MAIPs dengan beberapa pihak lain seperti Majlis Agama Islam Afrika Selatan (MJC), Imam Development Program dan Yayasan Aliman. – SM
BACA Pemangku Raja Perlis tutup Festival Seni, Budaya dan Bahasa KUIPs