Nasional

Pemangku Raja Perlis akhiri lawatan ke Nigeria

ABUJA, (Nigeria) 31 Julai – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengakhiri lawatan khas mengetuai Program Safar Ilmi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selama tiga hari ke Abuja dan Sokoto di Nigeria.

Baginda diiringi sama oleh anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail serta Mufti Perlis Prof Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada hari terakhir di sana Baginda menghadiri satu program syarahan umum yang diadakan di Pusat Komuniti Islam di Masjid NASFAT dan disusuli dengan pertemuan bersama dengan kepimpinan Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Nigeria (NSCIA) serta para Ulama Islam Abuja bagi membincangkan isu-isu umum yang melibatkan umat Islam khususnya di Perlis dan Nigeria yang berlangsung di Masjid Negara Abuja.

Tuanku Syed Faizuddin Putra kemudiannya meluangkan masa singgah di Stadium Nasional Mashood Abiola Abuja dan Pusat Kesenian dan Kebudayaan Bandar Abuja sebelum menghadiri perjumpaan dengan kepimpinan daripada Yayasan Amal Al Mawaddah dari Ibadan, Nigeria yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi yayasan tersebut Alhaj Ridwan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja. Berikutnya Baginda menghadiri majlis minum petang bersama warga kerja pejabat Suruhanjaya Malaysia tersebut yang dihoskan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Nigeria, Aiyub Omar.

Program terakhir ialah sesi perjumpaan dengan kepimpinan serta jemaah Masjid Pusat Ansar Ud-Deen.

Ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe, Baginda menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Nigeria, Aiyub Omar, Kaunselor, Sharmini Devi Gopal dan Setiausaha Ketiga, Balqis Hazwani yang hadir mengucapkan selamat berangkat atas segala program yang diaturkan dengan sangat baik dan berimpak sekali bagi memudahkan segala urusan delegasi Safar Ilmi MAIPs pada kali ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button