NasionalNegeri

Pemangku Raja Perlis ajak rakyat komited perangi dadah

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh rakyat melangkaui latar belakang dan ideologi untuk terus komited dalam menyokong usaha-usaha memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri dan negara ini.

Baginda bertitah, kesepakatan dan keterlibatan semua pihak dan gabungan idea-idea bernas akan mewujudkan pendekatan yang lebih mapan dan harmoni.

Tuanku Syed Faizuddin Putra sambil diperhati Tuanku Hajah Lailatul Shahreen ketika berkenan merasmikan PUSPEN Gambar Ihsan AADK Kebangsaan Chabang di Jalan Kaki Bukit, Padang Besar malam tadi. – Gambar Ihsan AADK Kebangsaan

“Beta ingin menyeru agar kita semua terus menyokong Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha meningkatkan fungsi sosial penagih dadah di dalam masyarakat,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang di Jalan Kaki Bukit, Padang Besar malam tadi.

Berkenan hadir Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah PUSPEN Bukit Chabang, Mohamad Zaki Farkhi Ahmad.

Tuanku Syed Faizudddin Putra dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen bersama kenamaan yang hadir pada majlis perasmian PUSPEN Bukit Chabang di Jalan Kaki Bukit, Padang Besar malam tadi. – Gambar Ihsan AADK Kebangsaan. – Gambar Ihsan AADK Kebangsaan

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kejayaan pemulihan penagihan dadah perlu dijalankan secara kolektif dan tanggungjawab ini tidak boleh digalas oleh AADK sahaja.

“Komitmen dan keterlibatan ini meliputi semua pihak termasuk klien (pelatih PUSPEN), ahli keluarga, komuniti setempat, jabatan-jabatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan semua pemimpin di peringkat akar umbi sangat penting untuk mengekalkan kepulihan seseorang itu sepanjang hayatnya,” titah Baginda.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, meskipun mungkin berlaku pandangan sinikal dan stigma segelintir masyarakat terhadap usaha membanteras gejala dadah, AADK tetap teguh dengan iltizamnya, baik dari aspek pendidikan pencegahan, pemulihan penagihan dadah dan juga aspek penguatkuasaan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Diharapkan AADK akan terus memberikan tahap prestasi perkhidmatan yang tinggi dalam menerajui program rawatan dan pemulihan penagihan dadah di negara ini,” titah Baginda. – SM

BACA Edar dadah: Bekas deejay radio, Ismahalil diperintah bela diri

PENTING

1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;

2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button