Acara

Pemangku Raja Perlis adakan lawatan kerja ke Singapura

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail tertarik dengan perkhidmatan dan juga kemudahan yang disediakan kepada masyarakat setempat di ‘Our Tampines Hub,’ di 1 Tampines Walk, Singapura.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena lawatan kerja Baginda ke negara tersebut bermula dari 2 sehingga 4 Julai 2024 baru-baru ini.

Keberangkatan Baginda dan delegasi daripada Jawatankuasa Kewangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang turut diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor disambut oleh Pengurus Besar ‘Our Tampines Hub’, Noriman Ali Salam dan Timbalan Pengurus Besarnya, Patrick Ang.

‘Our Tampines Hub’ merupakan sebuah kompleks komuniti dan gaya hidup bersepadu pertama di Singapura dan ia terletak di kawasam Tampines. Ia juga merupakan sebahagian daripada projek pembangunan komprehensif Pusat Daerah Tampines.

Hab ini juga berfungsi sebagai Pusat Sehenti Perkhidmatan Awam dan ‘One-Stop Government’ yang turut menawarkan pelbagai kemudahan termasuklah program bersepadu daripada pelbagai penyewa bagi menganjurkan sebarang aktiviti berskala besar dan fasiliti yang serbaguna seperti Town Square, Eco Garden dan juga Wellness Centre.

Tuanku Syed Faizuddin Putra telah dipersembahmaklumkan oleh Noriman dan Ang latar belakang dan fungsi hab tersebut dan berkenan untuk mengadakan lawatan ke Town Square, Community Auditorium dan juga kolam renang serta gimnasium, selain trek jogging berbumbung.

Ia juga merupakan venue stadium ‘Home’ untuk dua buah kelab bolasepak iaitu Tampines Rovers FC (1945) dan juga Geylang International Football Club (1974) yang boleh memuatkan kapasiti 5,000 penonton.
Tuanku Pemangku Raja berangkat ke Our Tampines Hub sejurus selepas berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi disambut oleh Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Presiden Persatuan Muhammadiyah Singapura, Ustaz Muhammad Azri Azman.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button